KUALA LUMPUR, 4 Mac (Bernama) -- MCA dan MIC bercadang meneroka perikatan baharu selepas percaya kerjasama dengan UMNO dalam Barisan Nasional (BN) tidak lagi mencerminkan hasrat sebenar perpaduan dalam kalangan parti.
Dalam kenyataan bersama hari ini, Presiden MCA Datuk Seri Dr Wee Ka Siong dan Presiden MIC Tan Sri S.A Vigneswaran berkata asas BN dicabar dan diancam kerana sifat saling menghormati sudah tiada selain pecahnya perpaduan dalam kalangan parti komponen.
“Sehubungan itu, MCA dan MIC tidak mempunyai pilihan melainkan meneroka perikatan baharu bagi mencerminkan hasrat sebenar perpaduan dalam kepelbagaian menurut hasrat asalnya. MIC dan MCA selaku wakil komuniti masing-masing mengakui metamorfosis BN kepada bentuk sekarang telah ditolak oleh komuniti mereka.
“Sehubungan itu, mereka menggesa pembubaran dan penstrukturan semula untuk kembali kepada semangat dan hasrat asal,” demikian menurut kenyataan itu.
Mereka juga berkata kenyataan bersifat perkauman oleh Setiausaha Agung BN Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz semasa ceramah politik di Semenyih memburukkan lagi hubungan di antara tiga parti pengasas tersebut.
“Kenyataan bersifat rasis berulang kali oleh Mohamed Nazri dilihat mewakili UMNO dan sikap berdiam diri parti itu meretakkan asas saling menghormati yang dipertahankan oleh BN selama ini,” kata mereka, menambah pelantikan Mohamed Nazri sebagai setiausaha agung itu sendiri tidak sah dan tidak diiktiraf oleh MCA dan MIC.
Sehubungan itu, MCA dan MIC menggesa Dewan Tertinggi BN segera mengadakan mesyuarat bagi memutuskan nasib gabungan tersebut memandangan MCA pada mesyuarat agungnya 2 Dis lalu membuat resolusi pembubaran BN bagi membentuk perikatan baharu, demikian menurut kenyataan tersebut.
Baru-baru ini Mohamed Nazri dikecam susulan kenyataannya berhubung pelantikan bukan Melayu ke jawatan ketua hakim negara, peguam negara dan menteri kewangan.
Beliau juga membuat kenyataan kematian anggota bomba Mohammed Adib Mohd Kassim tidak diperjuangkan kerana peguam negara bukan Melayu.
Pada 25 Feb lalu, polis dilaporkan berkata mereka menyiasat Mohamed Nazri menurut Akta Hasutan.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment