Showing posts with label saifuddin nasution ismail. Show all posts
Showing posts with label saifuddin nasution ismail. Show all posts

Tuesday, April 9, 2019

JANGAN UNDI MAT HASSAN SUPAYA DIA DAPAT FOKUS PULIHKAN UMNO

SEREMBAN, 8 April (Bernama) -- Pengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau boleh membantu calon Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Mohamad Hasan untuk 'berehat' selepas berakhir PRK ini dengan tidak mengundinya.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata ini bagi membolehkan Mohamad memberi fokus beliau untuk memulihkan UMNO.

"Meskipun Mohamad dikenali sebagai seorang yang gemar membantu orang ramai di DUN ini, BN bukan lagi parti memerintah dan Mohamad boleh memberikan fokus beliau untuk memulihkan UMNO.

"Kita mahukan pembangkang yang kuat, jadi saya fikir lebih baik orang Rantau tolong Tok Mat dengan ‘merehatkan’ beliau selepas PRK ini," katanya pada satu program ceramah di Bandar Ekar, di sini, malam ini.

Beliau juga berkata pengundi perlu memberikan kemenangan kepada calon Pakatan Harapan (PH) Dr S. Streram kerana kerajaan PH sedang berusaha memulihkan kembali negara ini.

Beliau memberi contoh kerajaan sedang berusaha memulihkan Felda dengan cara membentang Kertas Putih Felda di Parlimen, Rabu ini, yang akan menjelaskan kerugian Felda dan bagaimana untuk memulihkan institusi berkenaan.

"Tok Mat kalau menang di sini bolehkah dia memulihkan Felda Kenapa saya cerita mengenai Felda di sini Sebab UMNO yang lingkupkan Felda dan calon UMNO ada di PRK Rantau.

"Biar PH menang di sini bagi memudahkan PH memulihkan Felda. PH kini kerajaan di Negeri Sembilan, PH juga kerajaan di Putrajaya," katanya.

PRK DUN Rantau, 13 April ini, menyaksikan pertembungan empat penjuru antara Dr Streram, Mohamad dan dua calon Bebas, suri rumah R.Malarvizhi dan bekas pensyarah Mohd Nor Yassin.

Ia berikutan Mahkamah Persekutuan menolak petisyen difailkan Mohamad, yang juga penyandang DUN Rantau, untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Seremban pada 16 Nov tahun lalu, yang mengisytiharkan kemenangan beliau bagi kerusi berkenaan pada Pilihan Raya Umum ke-14 terbatal dan tidak sah.

-- BERNAMA

Monday, April 1, 2019

JANGAN BANDINGKAN PENCAPAIAN MAT HASSAN DENGAN AMINUDDIN

SEREMBAN, 1 April (Bernama) -- Pengundi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau diminta supaya tidak hanya membandingkan pencapaian yang pernah diraih bekas menteri besar Datuk Seri Mohamad Hasan dengan Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun.

Sebaliknya, Setiausaha Agung PKR Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata pengundi juga perlu menilai mengenai aspek keperibadian dimiliki kedua-dua pemimpin itu, malah Aminuddin yang juga Pengerusi PH Negeri Sembilan berjaya menarik pelaburan asing lebih besar berbanding zaman pentadbiran Mohamad.

"Pengundi mungkin terlepas pandang keperibadian jujur dimiliki Aminuddin yang mengisytiharkan harta sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14). Siapa tahu berapa banyak harta dimiliki Tok Mat (Mohamad) Tiada siapa tahu...Aminuddin ini kita sudah tahu berapa harta dimilikinya dan sekarang pun kita masih boleh baca harta dimilikinya.

Thursday, November 22, 2018

KERAJAAN BUKA TENDER BANGUNKAN SISTEM SUBSIDI MINYAK BERSASAR

KUALA LUMPUR, 22 Nov (Bernama) -- Kerajaan telah mengeluarkan tender terbuka bagi membangunkan sistem subsidi minyak bersasar.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata tender itu dikeluarkan Kementerian Kewangan yang menguruskan perolehan pada Isnin lepas.

"Tender ini bagi mencadang, mengkaji, mereka bentuk, membangun, membekal, memasang, menguji dan mentauliah serta mengoperasi perkakasan perisian dan aplikasi untuk sistem subsidi minyak secara bersasar bagi petrol RON95," katanya pada Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Nor Azrina Surip (PH-Merbok) mengenai hasil libat urus yang telah dilaksanakan kementerian berhubung subsidi berkenaan.

Saifuddin berkata pemilihan pembekal bagi membangunkan sistem itu akan dilaksanakan secara kompetitif bagi memastikan kecekapan sistem tersebut.

"Kita harap apabila itu dimuktamadkan (tender pembekal) maka kementerian ini boleh melakukan langkah yang berikutnya," katanya.

Saifuddin optimis subsidi minyak bersasar itu akan dapat dilaksana pada suku kedua tahun depan secara berperingkat.

Beliau berkata sejurus pengumuman pelaksanaan subsidi berkenaan pada Belanjawan 2019, kementeriannya telah mengadakan sesi pertemuan dengan pelbagai pihak termasuk Bank Negara Malaysia, syarikat-syarikat pengusaha stesen minyak dan persatuan pengguna bagi mengenal pasti apa yang diperlukan dalam program subsidi tersebut.

Dalam pada itu, Saifuddin berkata ketika ini, penggunaan petrol RON97 dan RON95 di negara ini mencecah 1.2 bilion liter petrol setiap bulan.

"Bagi (penggunaan) RON95 ialah 90 peratus daripada 1.2 bilion itu,” katanya.

Belanjawan 2019 dibentangkan Menteri Kewangan Lim Guan Eng baru-baru ini memperuntukkan subsidi petrol kepada pihak memiliki sebuah kereta sahaja yang berkapasiti enjin 1,500cc dan ke bawah atau motosikal berkapasiti enjin 125cc dan ke bawah.

-- BERNAMA

Friday, November 9, 2018

DI CABANG BATU PUN ADA KES AHLI BARU PKR TAPI TIADA LIPUTAN MEDIA

KUALA LUMPUR, 9 Nov (Bernama) – Sentimen keterlaluan bagi mempertahankan kelompok masing-masing menyebabkan isu keanggotaan di cabang Julau diberikan perhatian berlebihan walaupun proses pendaftaran keanggotaan baharu parti telah dilakukan secara telus, terbuka dan bertanggungjawab.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata PKR sebelum ini juga menerima aduan mengenai permohonan pendaftaran anggota baharu di beberapa cabang di Selangor termasuk 1,000 permohonan di cabang Batu yang dilakukan tanpa sebarang serahan borang permohonan keanggotaan sehingga ke hari ini dan kes permohonan pendaftaran dari kalangan anggota RELA dan penerima bantuan kerajaan negeri Selangor didaftarkan sebagai anggota tanpa pengetahuan mereka.

"Kes-kes seperti ini telah dimaklumkan kepada Biro Politik dan permohonan keanggotaan baharu untuk kes-kes tersebut telah diterima oleh Biro Politik dengan sebulat suara, namun tiada liputan media berlaku dalam kes-kes tersebut selain daripada cabang Julau," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Saifuddin berkata tiada sebarang bantahan diterima pihak ibu pejabat PKR dari cabang Julau mengenai isu keanggotaan di cabang itu sehingga tarikh tutup bantahan 17 Julai lalu.

Tuesday, November 6, 2018

GARIS PENDAPATAN TETAP KRITERIA UTAMA UNTUK SUBSIDI RON95



KOTA BHARU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna mempunyai mekanisme dan syarat tersendiri bagi memastikan subsidi RON95 sebanyak 30 sen seliter benar-benar dinikmati golongan B40 atau pengguna yang berpendapatan rendah.


Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kereta berkapasiti enjin 1,500 cc (1.5 cc) dan motosikal berkapsaiti enjin 125 cc hanya syarat umum, namun garis pendapatan pemilik tetap menjadi kriteria utama bagi melayakkan seseorang pemilik kenderaan menikmati subsidi tersebut.


Dengan kata lain jelas beliau, sekiranya pemilik berkenaan mempunyai kereta 1.5 cc namun tidak termasuk dalam kalangan golongan B40, mereka tetap tidak layak menikmati subsidi 30 sen seliter itu.

"Kriteria yang layak bukan satu sahaja kerana kita ambil kira kombinasi jenis dan umur kenderaan serta garis pendapatan pemilik. Ada orang kaya banyak kereta. Kereta 1.5 cc itu mungkin kereta ketiga atau keempat dia. Kalau dia ada Mercedes-Benz tapi 1.5 cc itu pun tidak layak. Tidak logik golongan B40 mampu beli Mercedes-Benz.

"Saya ambil contoh di Kelantan ini pula ramai yang bawa Mercedes, dan kereta dia di atas 1.5 cc tapi kita tengok balik, itu kereta lama yang usianya sampai 35 tahun. Kita kena pertimbangkan kelayakan mereka juga," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Food Aid Foundation Cawangan Kelantan di Love Kitchen, Berek 12, di sini hari ini.

Ketika membentangkan Belanjawan 2019, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mengumumkan pemilik kereta berkapasiti enjin 1,500 cc dan motosikal berkapsaiti enjin 125cc akan menikmati RON95 sebanyak sen seliter.

Kata Guan Eng, pemilik kereta akan menerima subsidi petrol RON95 terhad kepada 100 liter manakala pemilik motosikal 40 liter


Saturday, August 18, 2018

SISTEM E UNDI TELUS DAN BERINTEGRITI

KUALA LUMPUR, 18 Ogos (Bernama) -- Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution Ismail memberi jaminan sistem 'e-undi' yang akan dilaksanakan buat pertama kali pada pemilihan PKR kali ini telus dan berintegriti.

Beliau berkata sistem yang dibangunkan oleh Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) dengan bantuan pakar itu telah dibentangkan dalam semua struktur lapisan parti dan dijamin tidak akan berlaku manipulasi data ketika pelaksanaannya.

"JPP telah bekerja keras membina sistem ini dan ia telah mendapat kelulusan semua peringkat lapisan parti, jaminan kita ialah sistem ini telus dan berintegriti," katanya kepada pemberita selepas melepaskan peserta pada program larian SSM BizRun 2018 di sini pagi ini.

Saifuddin berkata bagi pihak dalam parti sama ada calon bertanding atau anggota yang masih mempunyai kemusykilan mengenai sistem ini boleh berjumpa sendiri dengan JPP berbanding mempertikaikannya di luar parti.

"Saya suka menasihatkan kalau ada lagi nak bertanya bagaimana sistem ini dikendalikan, jalan yang paling baik ialah tanya pada JPP.

Wednesday, July 11, 2018

WAN AZIZAH CADANG ANWAR DILANTIK SEBAGAI SPEAKER DEWAN RAKYAT?



KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menawarkan kepada bakal penggantinya Datuk Seri Anwar Ibrahim jawatan sebagai senator bagi menyertai pentadbiran kerajaan, kata Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail.

 Saifuddin mendedahkan cadangan itu dibuat pada 13 Mei, tiga hari sebelum pengampunan penuh diberikan kepada Anwar daripada sabitan liwat.

"Semasa Tun datang melawat Anwar, beberapa hari sebelum Anwar diberi pengampunan penuh saya berada dalam bilik itu bersama kedua-dua mereka.

"Tun Mahathir mempelawa Anwar untuk menjadi anggota pentadbiran dan dilantik sebagai senator. Anwar dengan sopan berkata oleh kerana Wan Azizah adalah TPM adalah lebih molek untuk dia tidak menjadi sebahagian anggota pentadbiran.

"Maksudnya pada waktu itu Tun berpendapat dia mahu melibatkan Anwar dan jalannya ada dua - sama ada senator atau dia bertanding sebagai MP.

"Dia (Anwar) mengucapkan terima kasih kepada Tun sambil dia menyebut "Tun, the stage is yours, you should be the one who run the show'".

"Maknanya dia memberikan kepercayaan penuh dan sokongan penuh kepada Tun," tambah anggota parlimen Kulim Bandar Baharu itu.

Katanya lagi, apabila Mahathir bertanya mengenai rancangan ketua umum PKR itu selepas ini, Anwar berkata beliau akan ke luar negara untuk memberikan syarahan dan menjelajah seluruh negara bagi mengucapkan terima kasih kepada pengundi kerana menyokong Pakatan Harapan (HARAPAN).

Sebelum ini, Anwar menegaskan beliau akan kembali dalam politik sebagai anggota Dewan Rakyat namun enggan melakukannya melalui pilihan raya kecil di kerusi Pandan yang dimenangi oleh isterinya yang kini memegang jawatan timbalan perdana menteri.

Walaupun status senator dikira sebagai anggota parlimen, kebiasannya ia diihat sebagai 'pintu belakang' untuk menyertai pentadbiran kerajaan.

Bagaimanapun tidak diketahui tempoh sebenar Anwar untuk kembali ke Parlimen dan seterusnya menggantikan Mahathir sebagai perdana menteri kelapan seperti yang dirancang.

Ketika beliau dibebaskan selepas menjalani hukuman 39 bulan penjara atas sabitan liwat pada 16 Mei, Anwar berkata beliau tidak akan tergesa-gesa untuk kembali semula dalam politik.

Tiga minggu kemudian, bekas timbalan perdana menteri itu dilaporkan berkata beliau akan kembali ke Parlimen dalam beberapa bulan dan proses itu mungkin akan dipercepatkan.



Saifuddin berkata PKR tidak menetapkan tempoh masa untuk Anwar kembali ke politik dan ia tidak perlu berbuat demikian.

"Dia berada dalam kerajaan sejak 80-an. Seperti mana kita tak meletakkan tempoh masa kepada Tun, kita juga tidak meletakkan tempoh masa kepada Anwar.

"Dia boleh tetapkan sendiri, dia nak buat pilihan raya kecil ke, di mana ke (bertanding), dia akan tentukan," kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna itu.

"Sebaliknya seluruh anggota parlimen PKR diminta oleh Anwar dan Wan Azizah memberikan sokongan dan dukungan kepada Tun dan kerajaan untuk mentadbir dengan tenang dan yakin," tambah Saifuddin.

Anwar kini berada di Turki untuk menjalani pembedahan bahu dan telah selesai menjalani pembedahan tulang belakang.

Sementara itu, Saifuddin juga menafikan dakwaan terdapat lobi dalam PKR yang menjadi punca mengapa 25 anggota kabinet mengangkat sumpah hampir 10 minggu selepas HARAPAN memenangi pilihan raya umum 9 Mei.

"Tak betul dan sangat tidak adil (dakwaan itu) kepada PKR.

"Perdana menteri meminta setiap parti memberikan nama dan meminta kepada pemimpin dalam Majlis HARAPAN bahawa berikan kepercayaan bahawa ini adalah prerogatif beliau sebagai perdana menteri.

"Tidak ada sebarang lobi daripada parti PKR, daripada Anwar, Wan Azizah dan saya sendiri, tidak ada sebarang lobi. Kita serahkan sepenuhnya kepada Tun Mahathir," katanya.

Saifuddin berkata beberapa nama yang dikemukakan oleh PKR juga tidak diterima masuk dalam kabinet.

"Ada yang dapat dan ada yang tidak dapat. Perkara yang sama juga berlaku kepada DAP dan AMANAH," jelas beliau.

Beliau juga ditanya sama ada nama Azmin terdapat dalam senarai tersebut.

"Azmin pada waktu itu menteri besar Selangor, pada masa senarai diangkat dan parti menyerahkan kepada perdana menteri, Azmin menteri besar Selangor.


"Parti jelas di situ kerana menteri besar tidak boleh jadi menteri. Takkanlah PKR terlalu bodoh, kamu menteri besar dan takkanlah kamu tak tahu perlembagaan negara kita," katanya.

Menurut Saifuddin, kedudukan Azmin dalam kabinet merupakan kehendak dan hak prerogatif perdana menteri.

Pada masa ini PKR memiliki enam anggota kabinet daripada 28 anggota dan secara sepintas lalu, kebanyakannya mereka dilihat dengan kumpulan Azmin.

"Pandangan saya yang dapat jawatan menteri adalah geng PKR," katanya yang menolak dakwaan bahawa parti itu berpecah kepada kumpulan Azmin dan naib presidennya, Rafizi Ramli.

Ulasan saya, Anwar enggan dilantik senator tetapi kenapa Wan Azizah mencadangkan nama Anwar Ibrahim sebagai Speaker Dewan Rakyat. Takkan bakal Perdana Menteri mahu menerima jawatan tersebut kerana biasanya Speaker dilantik dari kalangan yang sudah bersara dari politik.