Tuesday, November 6, 2018

GARIS PENDAPATAN TETAP KRITERIA UTAMA UNTUK SUBSIDI RON95



KOTA BHARU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna mempunyai mekanisme dan syarat tersendiri bagi memastikan subsidi RON95 sebanyak 30 sen seliter benar-benar dinikmati golongan B40 atau pengguna yang berpendapatan rendah.


Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kereta berkapasiti enjin 1,500 cc (1.5 cc) dan motosikal berkapsaiti enjin 125 cc hanya syarat umum, namun garis pendapatan pemilik tetap menjadi kriteria utama bagi melayakkan seseorang pemilik kenderaan menikmati subsidi tersebut.


Dengan kata lain jelas beliau, sekiranya pemilik berkenaan mempunyai kereta 1.5 cc namun tidak termasuk dalam kalangan golongan B40, mereka tetap tidak layak menikmati subsidi 30 sen seliter itu.

"Kriteria yang layak bukan satu sahaja kerana kita ambil kira kombinasi jenis dan umur kenderaan serta garis pendapatan pemilik. Ada orang kaya banyak kereta. Kereta 1.5 cc itu mungkin kereta ketiga atau keempat dia. Kalau dia ada Mercedes-Benz tapi 1.5 cc itu pun tidak layak. Tidak logik golongan B40 mampu beli Mercedes-Benz.

"Saya ambil contoh di Kelantan ini pula ramai yang bawa Mercedes, dan kereta dia di atas 1.5 cc tapi kita tengok balik, itu kereta lama yang usianya sampai 35 tahun. Kita kena pertimbangkan kelayakan mereka juga," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Food Aid Foundation Cawangan Kelantan di Love Kitchen, Berek 12, di sini hari ini.

Ketika membentangkan Belanjawan 2019, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mengumumkan pemilik kereta berkapasiti enjin 1,500 cc dan motosikal berkapsaiti enjin 125cc akan menikmati RON95 sebanyak sen seliter.

Kata Guan Eng, pemilik kereta akan menerima subsidi petrol RON95 terhad kepada 100 liter manakala pemilik motosikal 40 liter


No comments:

Post a Comment