Saturday, November 24, 2018
190 PASANGAN DIRAIKAN DALAM WALIMATULURUS PERDANA SERENTAK DI LAPAN PARLIMEN TERENGGANU
MARANG, 24 Nov (Bernama) -- Keputusan menyertai Walimatulurus Perdana Terengganu Edisi ketiga 2018, anjuran Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) membolehkan sepasang pengantin golongan kurang upaya (OKU) melangsungkan perkahwinan beberapa bulan lebih awal dari tarikh yang ditetapkan.
Syed Izz Zahiruddin Syed Kamaruddin, 25, yang mengalami kecacatan kedua-dua tangan akibat demam panas semasa kecil bersyukur akhirnya dapat disatukan dengan pasangannya, Nur Najihah Mohamad, 24, yang dikenalinya sejak lima tahun lalu.
Beliau yang berasal dari Kuala Ibai, dan isterinya dari Pengadang Baru, bekerja di syarikat yang sama di Jalan Panji Alam, dekat ini, pada mulanya merancang untuk mengadakan majlis perkahwinan pada Februari tahun depan.
"Saya mengenali isteri saya melalui Facebook sejak lima tahun lalu dan kami berkawan rapat selepas itu dan mula merancang untuk mendirikan rumah tangga," katanya ketika ditemui pemberita di majlis bagi Parlimen Marang di Dewan Tok Guru, Rusila, di sini hari ini.
Turut hadir menyerikan majlis, Menteri Besar Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.
Nur Najihah pula berkata, pada mulanya beliau tidak tahu yang suaminya itu menghadapi kecacatan anggota, setelah berkawan rapat dan bertemu baru beliau mengetahui keadaan lelaki itu.
"Namun saya dan keluarga reda di atas ketentuan Ilahi dan menerima Syed Izz seadanya," katanya.
Pasangan itu antara 190 pasangan yang diraikan kerajaan Terengganu dalam majlis yang diadakan serentak di seluruh lapan Parlimen hari ini dengan kos keseluruhan sebanyak RM800,000.
Ahmad Samsuri ketika ditemui pemberita kemudiannya menasihatkan golongan muda di negeri itu yang berhasrat melangsungkan perkahwinan merebut peluang menyertai program itu pada masa depan.
Katanya langkah itu menjimatkan perbelanjaan pasangan pasangan dan keluarga mereka.
"Program itu boleh membantu mereka terutama yang baru terlibat dalam alam pekerjaan, yang sukar mengumpul wang untuk kelengkapan perkahwinan kerana ia tentu memakan masa. Jadi inilah ruang yang ada dan sudah sepatutnya kita jangan lepaskan," katanya.
Katanya, program tahunan itu ia juga sebenarnya terbuka kepada pasangan bukan Islam di negeri ini.
"Setakat ini kita belum menerima permohonan daripada pasangan bukan Islam untuk menyertai program ini… jika ada, kita mengalu-alukan kerana mereka juga rakyat negeri ini,” katanya.
-- BERNAMA
Labels:
walimatulurus perdana,
ypk
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment