Tuesday, November 27, 2018

HOSPITAL KPJ SEREMBAN GEMPAR ANCAMAN BOM

SEREMBAN, 27 Nov (Bernama) -- Hospital Pakar KPJ Seremban di sini gempar hari ini berikutan menerima ancaman bom daripada individu tidak dikenali pada jam 4.45 petang.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Sembilan, Norazam Khamis berkata pihaknya menerima maklumat awal kejadian daripada pihak polis pukul 5.07 petang dan tiba di lokasi kira-kira 20 minit kemudian.

“Seramai 117 pesakit biasa, lima pesakit unit rawatan rapi dan 169 kakitangan diarahkan mengosong bangunan serta merta dan berkumpul di perkarangan hospital. Malah ada juga pesakit yang kritikal terpaksa dihantar ke Hospital Tuanku Ja’afar Seremban (HTJS) buat sementara.

“Seramai 18 pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Seremban, Seremban 2 serta pasukan Unit Bahan Berbahaya (HAZMAT) dikerahkan ke lokasi,” katanya dalam kenyataan di sini.

Tinjauan Bernama mendapati keadaan diawasi rapi oleh anggota keselamatan dan suasana dalam keadaan terkawal.

Bagaimanapun, kira-kira dua jam kemudian, pesakit dibenarkan memasuki semula bangunan secara berperingkat.

Namun, sehingga pukul 7.05 malam, pasukan polis termasuk Unit Pemusnah Bom dan Unit Anjing Pengesan (K9) masih menjalankan pemeriksaan di bangunan lapan tingkat itu.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment