Sunday, November 25, 2018

OBLONG BURGER SETANDING MC DONALD'S

SERDANG, 24 Nov (Bernama) -- Jika 15 tahun lalu beliau hanya peniaga burger kecil-kecilan di tepi jalan di Jitra, Kedah, kini beliau berazam untuk mempunyai sebuah perniagaan francais besar seperti McDonald’s.

Bagi Yusof Ishak, 45, Pengasas Bersama francais Oblong Burger, beliau yakin hasratnya itu mampu dicapai dalam tempoh 15 tahun lagi.

Menurutnya, syarikat itu yang diasaskan bersama Zunita Nordin dan Mohd Farid Mohd ZainIshak, kini meraih pendapatan antara RM6 juta hingga 12 juta setahun dan mampu menghasilkan 150,000 patty burger sehari,

Yusof berkata demikian kepada Bernama ketika ditemui di Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2018 di Tapak Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), di sini, hari ini.

Beliau berkata Oblong Burger yang mempunyai sebuah kilang memproses daging burger di Jitra kini sedang menambah baik dan memperbesarkan kilang tersebut yang terletak di kawasan seluas 8.9 hektar untuk menjadi sebuah kompleks yang dapat mempertingkatkan hasil pengeluaran.

Menurutnya, beliau memulakan perniagaan secara kecil-kecilan dengan membuka beberapa gerai burger yang diuruskannya sendiri sebelum mengambil keputusan mengeluarkan patty burger untuk kegunaan gerainya.

Pada 2005, beliau bersama Zunita dan Mohd Farid telah membuka kilang pemproses patty burger tersebut yang menghasilkan 5,000 patty sehari.

“Kini Oblong Burger mempunyai lebih 3,000 peniaga yang menggunakan produk mereka di dalam dan luar negara seperti di Thailand dan Brunei,” katanya.

Yusof berkata, syarikat itu kini dalam perancangan untuk mengeksport produknya ke Mesir, Singapura, China, Vietnam dan Indonesia.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment