Wednesday, November 21, 2018

PUSAT PENGAJIAN AL QURAN AR RAHMAN (PPAQAR) TAWAR TEMPAT KEPADA PESARA DALAMI AL QURAN















KEMAMAN: Pada tahun 1998 Pengarah Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPK), Datuk Haji Azman Muda berhasrat untuk membina sebuah pusat untuk pesara belajar al quran di Terengganu  yang dinamakan sebagai Desa Aman tetapi ia tidak kesampaian apabila BN kalah pada PRU 1999.

Namun demikian 19 tahun kemudian hasrat Datuk Haji Azman tercapai apabila bekas perisik tentera yang juga bekas  pegawai khas kepada bekas beberapa orang menteri , Datuk Haji Mustafa Abdul Rahman  (Tok Pa) yang kini menumpukan sepenuh perhatian dalam bidang agama membuka Pusat Pengajian Al Quran Ar Rahman  (PPAQAR) di Kampung Tumpat, Kemasik, Kemaman.

Ia dibangunkan pada April 2018 dan kini siap 75  peratus dan ia akan menawarkan tempat kepada 30 orang setiap masa selama satu hingga tiga bulan kepada pesara atau warga dewasa tempatan untuk mendalami ilmu al quran dan lain lain ilmu agama  yang mana tenaga pengajarnya didatangkan khas daripada pasantren Indonesia anak murid Pak Habib Umar Al Attas serta guru guru tempatan yang berkelulusan dari universiti Jordan, Mesir dan Madinah.

Menurut Tok Pa, sehingga kini hampir RM200,000 telah dibelanjakan untuk membina pusat tersebut dengan menggunakan peruntukan sendiri dengan penjualan aset dan simpanan beliau. Sebahagian lagi RM25,000 hasil sumbangan zakat  tokoh korporat dan orang ramai.


"Pusat ini dibuka kepada semua tanpa sebarang bayaran kecuali untuk makan minum. Malah asrama akan disediakan kepada mereka yang mahu belajar di sini selama tiga bulan," katanya yang mana sukatan pelajarannya diluluskan oleh MAIDAM.

Tok Pa berharap apabila PPAQAR siap kelak ia dapat menyediakan langskap yang cantik sebagai pusat tahfiz dalam taman termasuk menyediakan tempat rekrasi di tepi Sungai Tumpat, tempat berkuda, kebun buah-buahan yang diberi percuma kepada para pelajar dan program berperahu. Malah homestay disediakan kepada keluarga pelajar yang ingin menziarahi mereka yang sedang belajar di situ.

Untuk memenuhi hasrat ini, beliau menyeru semua ahli perniagaan menderma kepada pusat ini untuk mendapatkan saham akhirat.

PPAQAR terletak di tanah seluas 2.5 ekar di Kampung Tumpat milik arwah ayah Tok Pa, Abdul Rahman bin Ali (Pok Roman) seorang Special Constable (SC).

Mereka berpindah ke Kemasik apabila Malaya diisytiharkan darurat pada tahun 1948. Sebelum tahun 1948, Kampung Tumpat adalah perkampungan orang Melayu yang berasal dari Tumpat dan Gunung, Bachok, Kelantan.

Ketika kerja membersih hutan dilakukan pada April lalu banyak bahan sejarah ditemui termasuk kubur lama Kampung Tumpat. PPAQAR terletak 7 km dari jalan besar Chukai - Kuala Terengganu sebelum tiba di Kampung Semanyor dan ia mudah diakses dari Kuala Lumpur melalui LPT2 ikut exit Kijal sejauh 10 km.

Sebarang pertanyaan bolehlah whatsapp ke no hp 0179851152

No comments:

Post a Comment