Friday, November 2, 2018

KERAJAAN LAMA BAYAR HUTANG 1MDB HAMPIR RM7 BILION SECARA RAHSIA

KUALA LUMPUR, 2 Nov (Bernama) -- Hari ini akan mencatat sejarah apabila bajet persekutuan pertama dibentangkan di Parlimen oleh sebuah kerajaan baharu sejak negara mencapai kemerdekaan pada 1957.

Bajet 2019 oleh kerajaan yang diterajui Pakatan Harapan itu dibentangkan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng pada jam 4 petang.

Walaupun harapan rakyat tinggi, ia boleh menjadi satu daripada bajet yang paling sukar di tengah-tengah dakwaan penyelewengan, perbelanjaan diragui serta hutang tinggi yang ditinggalkan kerajaan Barisan Nasional, menjadikan lembaran imbangan fiskal hampir tidak dapat diperbaiki.

Berikut adalah maklumat terkini mengenai Belanjawan 2019:

- Menteri Kewangan Lim Guan Eng bentang Belanjawan 2019 di Dewan Rakyat.

- Belanjawan 2019 adalah belanjawan julung kali dibawah Kerajaan Pakatan Harapan - Lim Guan Eng.

- Kerajaan mendapati pentadbiran terdahulu telah secara rahsia membayar hutang 1MDB hampir RM7 bilion sehingga 30 April 2018.

- Belanjawan 2019 bertemakan 'Malaysia Wibawa, Ekonomi Dinamik, Rakyat Sejahtera' .

- Tumpu tiga fokus dengan 12 strategi utama bagi mengembalikan kedudukan ekonomi Malaysia sebagai Harimau Asia.

- Kerajaan Persekutuan telah menstruktur semula pendekatan belanjawan melalui Zero-Based Budgeting iaitu sistem belanjawan berasaskan sifar belanjawan.

- Kerajaan akan membentangkan Akta Kebertanggungjawaban Fiskal atau Fiscal Responsibility Act pada 2021 untuk mengelak perbelanjaan yang tidak terkawal dan menyebabkan hutang yang maha besar.

- Kerajaan berhasrat bentang Akta Perolehan Kerajaan tahun depan untuk kawal selia proses perolehan bagi memastikan ketelusan dan persaingan terbuka.

- Kerajaan akan melaksanakan perakaunan akruan bagi menggantikan perakaunan asas tunai bermula 2021.

- Jumlah jaminan kerajaan meningkat dari RM69.2 bilion pada tahun 2008 kepada RM238 bilion pada 2017 iaitu peningkatan drastik sebanyak 244%.

- Kerajaan akan wujudkan Pejabat Pengurusan Hutang yang bertanggungjawab untuk semak dan urus hutang dan liabiliti kerajaan.

- Kerajaan telah berjaya mengurangkan kos keseluruhan projek LRT3 daripada RM31.6 bilion kepada hanya RM16.6 bilion.

- Kerajaan akan bekerjasama dengan kerajaan asing untuk memulangkan segala aset dan wang tunai berkaitan dengan 1MDB yang telah dirampas.

- Low Taek Jho atau Jho Low yang terlibat skandal 1MDB telah didakwa di Amerika Syarikat.

- Hutang langsung kerajaan persekutuan mencatat RM687 bilion atau 50.7 peratus daripada KDNK pada akhir 2017.

- Kerajaan rancang untuk melaksanakan penjualan tanah secara berjadual dan berperingkat kepada pembida tertinggi tertakluk kepada syarat tanah bagi memaksimumkan hasil kepada kerajaan.

- Kerajaan akan memperkenalkan sistem kredit untuk potongan cukai jualan mulai 1 Januari 2019.

- Perkhidmatan yang diimport akan dikenakan Cukai Perkhidmatan.

- Bagi perkhidmatan atas talian yang diimport oleh pengguna, penyedia perkhidmatan asing akan dikehendaki berdaftar dengan kastam, mengenakan dan meremit cukai perkhidmatan yang berkaitan berkuatkuasa mulai 1 Januari 2020.

- Kerajaan akan lancar Program Khas Pengakuan Sukarela (Special Voluntary Disclosure Program) untuk memberi peluang kepada pembayar cukai mengisytiharkan secara sukarela sebarang pendapatan yang tidak dilaporkan.

- LHDN akan teliti dan siasat harta kekayaan luar biasa yang ditunjukkan melalui pemilikan barang-barang mewah seperti barang kemas, jam tangan, beg tangan, kereta mewah atau hartanah.

- Cukai, fi dan levi sektor perjudian yang tidak dinaikkan sejak 2005 turut dipinda.

- Lesen kasino akan dinaikkan dari RM120 juta kepada RM150 juta setiap tahun.

- Duti kasino akan dinaikkan kepada 35 peratus ke atas pendapatan kasar.

- Kerajaan akan meneruskan dan menambahbaik Bantuan Sara Hidup (BSH) kepada B40 dengan memberikan bantuan secara lebih bersasar.

- Isi rumah berpendapatan bulanan RM2,000 dan ke bawah akan menerima bantuan berjumlah RM1,000.

- Isi rumah berpendapatan bulanan dari RM3,001 hingga RM4,000 akan menerima bantuan berjumlah RM500.

- Isi rumah berpendapatan bulanan dari RM2,001 hingga RM3,000 ke bawah akan menerima bantuan berjumlah RM750.

- Kerajaan akan memperkenalkan kadar tambahan BSH RM120 untuk setiap anak berumur 18 tahun ke bawah terhad kepada 4 orang, kecuali anak OKU yang tidak dihadkan umur mereka.

- Dianggarkan sebanyak 4.1 juta isi rumah akan terus menerima bantuan kewangan daripada kerajaan dengan peruntukan RM5 bilion.

- Subsidi minyak secara bersasar kepada pihak memiliki sebuah kereta sahaja yang berkapasiti enjin 1,500cc dan ke bawah atau motosikal berkapasiti enjin 125cc dan ke bawah.

- Kerajaan akan memberi subsidi petrol RON95 sebanyak 30 sen seliter terhad kepada 100 liter sebulan bagi kereta atau 40 liter bagi motosikal.

- Bagi menstabilkan bekalan dan menyeragamkan harga barangan keperluan asas, terutama di Sabah dan Sarawak, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM150 juta.

- Kerajaan akan mengenal pasti dan bekerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan dan social enterprise untuk menyokong usaha mereka dalam membantu komuniti yang kurang bernasib baik dan terpinggir.

- Kerajaan akan mengkaji semula undang-undang buruh bagi memperkasakan pasaran buruh, kebajikan pekerja dan melarang sama sekali amalan diskriminasi oleh pihak majikan.

- Kerajaan melalui usahasama dengan syarikat insurans swasta akan memperkenalkan Dana Perlindungan Kesihatan Nasional B40.

- Kerajaan prihatin dan ingin membantu rakyat yang kehilangan pekerjaan dengan melaksanakan sepenuhnya Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) mulai 1 Januari 2019.

- Pemberian bantuan sebanyak RM500 secara one-off kepada pesara yang layak.

- Kerajaan meluluskan kemudahan Cuti Tanpa Rekod kepada pegawai beragama Islam untuk tunai ibadah umrah sebanyak tujuh hari sekali sepanjang tempoh perkhidmatan.

- Kerajaan peruntukkan hampir RM29 bilion untuk perkhidmatan kesihatan yang merupakan peningkatan sebanyak 7.8% berbanding tahun lepas.

- Bagi hargai penjawat awam bukan beragama Islam, Kerajaan perluas kemudahan cuti tanpa rekod tujuh hari bagi tujuan keagamaan sepanjang tempoh perkhidmatan.

- Kerajaan teruskan program saringan percuma pengesanan kanser payudara (mamogram), program vaksinasi HPV dan ujian saringan Pap Smear di hospital dan klinik Kerajaan dengan peruntukan sebanyak RM20 juta.

- Kerajaan cadang perkenalkan duti eksais mulai 1 April 2019 pada kadar 40 sen per liter ke atas dua kategori minuman bergula dikilangkan dalam bentuk pembungkusan yang sedia diminum.

- Mempertingkatkan keselamatan dalam negeri dan pertahanan negara dengan peruntukan pembangunan RM5.9 bilion kepada Kementerian Pertahanan dan Kementerian Dalam Negeri.

- Peruntukan RM400 juta untuk penyelenggaraan dan membaik pulih kuarters kerajaan yang dikenal pasti.

- REHDA bersetuju untuk mengurangkan sebanyak 10% harga rumah yang tidak tertakluk kepada kawalan harga untuk projek baharu.

- Kerajaan peruntukkan RM240 juta dengan memperkenalkan pas bulanan RM100 tanpa had perjalanan meliputi perkhidmatan rel dan bas RapidKL mulai 2019.

- Kerajaan turut memansuhkan tol motosikal di Jambatan Pertama dan Kedua di Pulau Pinang, serta Lebuhraya Laluan Kedua di Johor dengan implikasi kewangan dianggarkan sebanyak RM20 juta setahun mulai 1 Januari 2019.

- Kementerian Pendidikan adalah penerima peruntukan yang terbesar berjumlah RM60.2 bilion atau 19.1 peratus daripada keseluruhan perbelanjaan kerajaan tahun 2019.

- Peruntukan bantuan pendidikan berjumlah RM2.9 bilion untuk membantu golongan miskin melalui bekalan makanan, buku teks dan bantuan tunai.

- Kerajaan naik taraf dan selenggara semua sekolah dengan peruntukan RM652 juta berbanding RM615 juta tahun 2018.

- Kerajaan sedia peruntukan RM100 juta untuk pembinaan semula sekolah daif seluruh negara.

- Memperkasa aktiviti penyelidikan di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dengan peruntukan RM400 juta.

- Kerajaan teruskan pemberian biasiswa dan pinjaman pelajaran dengan peruntukan RM3.8 bilion di mana RM2 bilion diperuntukan khusus kepada pelajar Bumiputera tajaan MARA.

- Kerajaan peruntukkan RM17.5 juta kepada MyPAC untuk hasilkan 600 akauntan Bumiputera yang diiktiraf dalam jangka masa lima tahun.

- Pembayaran balik PTPTN dengan cara potongan gaji berjadual antara dua peratus hingga 15% daripada pendapatan bulanan peminjam berpendapatan melebihi RM1,000 sebulan.

- Pelepasan cukai kepada syarikat yang membantu menyelesaikan baki pinjaman PTPTN pekerja bagi tahun berakhir 2019.

- Layanan pelepasan cukai pendapatan individu bagi Skim Simpanan Pendidikan Nasional dinaikkan daripada RM6,000 kepada RM8,000.

- Menubuhkan Jawatankuasa Khas Bagi Kewangan Islam yang diketuai Kementerian Kewangan dan dianggotai BNM dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.

- Kerajaan memperuntukkan RM1.2 bilion bagi tahun 2019 berbanding RM1.1 bilion tahun 2018 bagi memastikan kemajuan syiar Islam tidak terjejas.

- Kerajaan akan laksana Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP) dengan peruntukan RM1 bilion.

- Kerajaan akan menguatkuasakan Standard Mandatori Mengenai Harga Capaian (MSAP) yang dijangka akan menurunkan harga jalur lebar talian tetap sekurangnya 25% pada hujung tahun 2018.

- Sebanyak RM210 juta diperuntukkan bagi tahun 2019 sehingga 2021 untuk menggalakkan peralihan kepada Industri 4.0.

- Khazanah Nasional Berhad akan membangunkan 80 ekar tanah di Subang sebagai hub aeroangkasa bertaraf dunia.

- Kerajaan melalui BPMB akan menyediakan dana Transformasi Pendigitalan Industri dengan saiz dana RM3 bilion dengan insentif subsidi kadar faedah dua peratus.

- Dana pembiayaan PKS oleh institusi kewangan komersial sebanyak RM4.5 bilion dengan 60 peratus jaminan SJPP termasuk RM1 bilion untuk PKS Bumiputera.

- Dalam laporan Doing Business Report 2019 oleh Bank Dunia, Malaysia telah melonjak dari tempat ke-24 ke tempat ke-15 di peringkat global.

- Memperuntukkan RM100 juta bagi menambahbaik keupayaan industri PKS dalam industri halal.

- Menyediakan Skim Pembiayaan PKS Patuh Syariah berjumlah RM1 bilion disediakan oleh institusi kewangan Islam dengan kerajaan memberi subsidi kadar keuntungan sebanyak dua peratus.

- Permodalan Usahawan Nasional Berhad akan menyediakan peruntukan RM200 juta bagi industri pemborongan dan peruncitan serta pembelian premis perniagaan untuk disewa kepada PKS Bumiputera.

- Sebanyak RM100 juta diperuntukkan kepada TEKUN untuk membiayai usahawan kecil.

- RM2.46 bilion bagi kerja menaik taraf dan memulihara landasan keretapi untuk mempertingkatkan infrastruktur pengangkutan negara.

- Menjadikan tanah seluas 380 ekar di Pulau Indah sebagai Zon Perdagangan Bebas untuk menyokong dan memangkin aktiviti perkapalan dan logistik di Pelabuhan Klang.

- Peruntukan RM30 juta bagi membantu semua pekebun kecil kelapa sawit mendapatkan pengiktirafan persijilan Malaysian Sustainable Palm Oil (MSPO).

- Kerajaan sedia Insentif Pengeluaran Getah dengan peruntukan RM50 juta bagi mengurangkan kesan kejatuhan harga getah kepada pekebun kecil.

- Pekebun kecil akan menerima sokongan pendapatan daripada Insentif Pengeluraran Getah jika harga getah jatuh bawah RM2.20 sekilogram.

- Geran sepadan RM100 juta akan disediakan kepada syarikat swasta bagi program promosi dan pemasaran pelancongan antarabangsa untuk meningkatkan angka ketibaan pelancong.

- Kemudahan bebas cukai kepada kedai bebas cukai di Pelabuhan Swettenham di Pulau Pinang bagi menggalakkan lagi sektor pelancongan kapal persiaran.

- Kerajaan komited jadikan Pulau Pangkor sebagai pulau bebas cukai untuk merealisasikan potensi sebenar pulau tersebut.

- RM20 juta kepada Malaysia Healthcare Tourism Council (MHTC) untuk menjalinkan usahasama dengan hospital swasta yang terkemuka bagi menjenamakan Malaysia sebagai destinasi pelancongan kesihatan.

- Membina dan menaiktaraf jalan raya, jalan luar bandar dan jambatan dengan peruntukan RM926 juta.

- Kerajaan perluas akses bekalan elektrik dan air di luar bandar dengan peruntukan masing-masing RM694 juta dan RM738 juta.

- Peruntukkan RM100 juta untuk memperkasa pembangunan masyarakat Orang Asli.

- Bagi penempatan FELDA, kerajaan akan menyediakan peruntukan RM100 juta bagi menaiktaraf jalan, RM160 juta bagi projek sistem bekalan air, RM35 juta bagi projek membina dan naiktaraf bangunan serta projek pemasangan lampu jalan.

- Kerajaan akan meneruskan pelaksanaan projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah dan Sarawak tertakluk kepada kajian rasionalisasi kos.

- Dana sebanyak RM2 bilion disediakan di bawah Skim Pembiayaan Teknologi Hijau untuk galak pelaburan industri teknologi hijau.

- Belanjawan 2019 akan memperuntukkan sejumlah RM314.5 bilion dalam perbelanjaan berbanding anggaran RM290.4 bilion peruntukan pada tahun 2018.

- Peruntukkan RM10 juta disediakan untuk menambah 50 taska di bangunan kerajaan ke arah meringankan bebanan kerja ibu yang bekerja.

- Kerajaan mencadangkan bayaran khas sebanyak RM500 kepada semua penjawat awam gred 54 dan ke bawah, manakala RM250 kepada pesara kerajaan.

- Tabung Harapan Malaysia ini merupakan simbol semangat taat setia dan patriotisme rakyat Malaysia untuk membantu Kerajaan Persekutuan melangsaikan hutang negara yang diwarisi pentadbiran terdahulu.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment