GEORGE TOWN, 6 Nov (Bernama) -- Seorang anggota perwakilan Konvensyen DAP Pulau Pinang 2016 di sini hari ini membantah kerjasama di antara parti itu dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang dipengerusi oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Perwakilan dari Taman Chai Leng Shamsher Singh Thind berkata DAP tidak seharusnya bekerjasama dengan mana-mana individu yang pernah menjadi musuh parti semata-mata untuk memenangi Pilihan Raya Umum ke-14.
Beliau menyelar Dr Mahathir kerana sanggup berkerjasama dengan mana-mana pihak demi mencapai matlamat untuk menjatuhkan kerajaan.
"Orang-orang DAP tak malukah nak berjabat tangan dengan musuh Tun M? Dia harus memohon maaf dahulu dengan DAP sebelum nak bekerjasama," katanya dalam sesi perbahasan konvensyen itu.
Ekoran itu, tercetus suasana panas apabila Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng bangkit dan meminta Shamser menarik balik gelaran yang ditujukan kepada Dr Mahathir, sambil menegaskan DAP menuntut ahlinya supaya tidak menuding jari kepada mana-mana pihak ekoran kesalahan lampau mereka.
Pada mulanya, Shamsher enggan menarik balik kerana itu bukan arahan daripada speaker konvensyen namun akhirnya beliau akur dengan permintaan para ahli jawatankuasa negeri.
Shamsher turut mempersoalkan di manakah hala tuju parti dan mendakwa Pakatan Harapan tidak mempunyai persefahaman sesama anggota-anggotanya.
Katanya, Pilihan Raya Negeri Sarawak telah membukti perkara itu kerana terdapat enam kerusi di mana PKR dan DAP sama-sama menurunkan calon untuk bertanding.
"Mengikut persetujuan dalam Pakatan, Majlis Mesyuarat Presiden harus menentukan satu calon yang akan turun bertanding sekiranya tiada keputusan dibuat di kalangan anggotanya. Tetapi dalam hal di Sarawak, mana Majlis Presiden?," katanya.
Sementara itu, konvesyen DAP yang bermula dengan 287 perwakilan pada sesi pagi, bertukar hambar apabila tidak sampai 50 orang berada dalam dewan ketika sesi penggulungan pada jam lebih kurang 4.00 petang.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment