Showing posts with label malu. Show all posts
Showing posts with label malu. Show all posts

Thursday, August 10, 2017

ADAKAH MAHATHIR TAK MALU DENGAN BMF, MAMINCO, PERWAJA, FOREX DAN MAS?

KUALA LUMPUR, 10 Ogos (Bernama) -- Berikut kenyataan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak menerusi laman blognya hari ini berhubung kenyataan Pengerusi Pakatan Harapan Tun Dr Mahathir Mohamad mengenai isu "tak malu".

1. Kelmarin (8 Ogos 2017) dalam blognya Chedet, Tun Dr Mahathir menyenaraikan tiga golongan "tidak malu " di negara ini.

2. Golongan tersebut ialah Perdana Menteri (dan keluarganya), menteri, dan pegawai kerajaan berpangkat tinggi yang beliau gelarkan sebagai pencuri, perasuah dan penyangak.

3. Golongan ini, kata Tun berada di kedudukan sekarang bukan kerana kebolehan, tetapi kerana kenaikan pangkat yang "tidak mengikut aturan peraturan, dan bercanggah dengan undang-undang. "

4. Kata Tun lagi, golongan ini mendapat "jawatan kerana cekap membodek, sanggup melaksanakan arahan yang salah oleh boss, pun tak malu... asalkan dapat duit, dapat tempat, dapat pangkat. Pedulikan maruah. "

5. Dakwaan Tun ini berat. Ia seolah-olah Tun cukup bersih semasa zaman pemerintahannya. Ia seolah-olah Tun lupa kepada pandangan sarjana tentang pemerintahan beliau. Baca buku Khoo Boo Teik, 'Paradoxes of Mahathirism: An Intellectual Biography of Mahathir Mohamad´ (1995) dan John Hilley, 'Malaysia: Mahathirism, Hegemony and the New Opposition´ (2001). Baca juga buku lain oleh D.K. Mauzy, G. P. Means, Harold Crouch, William Case, K.S. Jomo dan E. T. Gomez.

6. Hasil kajian mereka tentang pemerintahan Tun bermuara pada rumusan berikut: Tun memerintah dengan prinsip Machiavellian, mengamalkan penaungan politik serta amalan kronisme dan nepotisme.

7. Sekadar mengingati kembali sejarah, tidak ingatkah Tun pada pelaburan berisiko yang telah dilakukan oleh BMF di Hong Kong? Tidak ingatkah Tun pada kerugian Maminco untuk mengawal harga timah? Tidak ingatkah Tun pada kerugian Syarikat Perwaja Steel? Tidak ingatkah Tun pada skandal Forex? Tidak ingatkan Tun pada penswastaan MAS?

8. Apa yang terjadi kepada semua syarikat dan pelaburan di atas? Rugikah? Untungkah? Bermaruahkah? Jika Tun ingat kepada semua perkara ini, tidakkah Tun juga berasa malu dengan apa yang telah terjadi?

9. Saya tidak memperincikan tulisan ini. Tetapi sekadar mengingatkan Tun, janganlah dalam keadaan sekarang setelah meninggalkan UMNO Tun menjadi seperti kata pepatah "bagai ketam menyuruh anaknya berjalan dengan betul. "

10. Marilah kita sama-sama belajarlah semula dari sejarah silam supaya kita tidak berterusan membuat silap. Kata George Santayana: "Mereka yang tidak mengenal masa lalunya, dikutuk untuk mengulanginya."

-- BERNAMA

Monday, November 7, 2016

DAP MEMANG MUKA TAK MALU?

GEORGE TOWN, 6 Nov (Bernama) -- Seorang anggota perwakilan Konvensyen DAP Pulau Pinang 2016 di sini hari ini membantah kerjasama di antara parti itu dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang dipengerusi oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Perwakilan dari Taman Chai Leng Shamsher Singh Thind berkata DAP tidak seharusnya bekerjasama dengan mana-mana individu yang pernah menjadi musuh parti semata-mata untuk memenangi Pilihan Raya Umum ke-14.

Beliau menyelar Dr Mahathir kerana sanggup berkerjasama dengan mana-mana pihak demi mencapai matlamat untuk menjatuhkan kerajaan.

"Orang-orang DAP tak malukah nak berjabat tangan dengan musuh Tun M? Dia harus memohon maaf dahulu dengan DAP sebelum nak bekerjasama," katanya dalam sesi perbahasan konvensyen itu.

Ekoran itu, tercetus suasana panas apabila Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng bangkit dan meminta Shamser menarik balik gelaran yang ditujukan kepada Dr Mahathir, sambil menegaskan DAP menuntut ahlinya supaya tidak menuding jari kepada mana-mana pihak ekoran kesalahan lampau mereka.

Pada mulanya, Shamsher enggan menarik balik kerana itu bukan arahan daripada speaker konvensyen namun akhirnya beliau akur dengan permintaan para ahli jawatankuasa negeri.

Shamsher turut mempersoalkan di manakah hala tuju parti dan mendakwa Pakatan Harapan tidak mempunyai persefahaman sesama anggota-anggotanya.

Katanya, Pilihan Raya Negeri Sarawak telah membukti perkara itu kerana terdapat enam kerusi di mana PKR dan DAP sama-sama menurunkan calon untuk bertanding.

"Mengikut persetujuan dalam Pakatan, Majlis Mesyuarat Presiden harus menentukan satu calon yang akan turun bertanding sekiranya tiada keputusan dibuat di kalangan anggotanya. Tetapi dalam hal di Sarawak, mana Majlis Presiden?," katanya.

Sementara itu, konvesyen DAP yang bermula dengan 287 perwakilan pada sesi pagi, bertukar hambar apabila tidak sampai 50 orang berada dalam dewan ketika sesi penggulungan pada jam lebih kurang 4.00 petang.

-- BERNAMA