Wednesday, November 16, 2016

LETAK CALON WANITA DI KERUSI SELAMAT

KUALA TERENGGANU: Pergerakan Wanita UMNO telah bersedia mengemukakan calon pertama wanita Barisan Nasional (BN) negeri untuk Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU) kelak.

Ketua Wanita Umno Tan Sri Shahrizat Abd Jalil berkata sekurang-kurangnya seorang calon wanita akan dinamakan untuk memenangi kerusi bagi BN.

"Setahun dulu, semasa perjumpaan dengan Menteri Besar Terengganu beliau berjanji bahawa kali ini (PRU) akan ada sejarah di mana Wanita Umno akan diberi peluang bertanding sebagai calon.

"Kalau boleh kita nak lebih daripada satu calon daripada wanita, tetapi sekurang-kurangnya seorang calon pun sudah memadai," katanya ketika ditemui pemberita sempena Taklimat Kesiapsiagaan PRU-14 Kepimpinan Wanita Negeri Terengganu di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Besar Terengganu Ahmad Razif Abd Rahman dan Ketua Pergerakan Wanita Umno Negeri Terengganu Datuk Fatimah Hamat.

Shahrizat berkata bilangan calon Wanita diberi peluang bertanding di Terengganu bukanlah isu utama tetapi kemenangan kerusi yang menjadi keutamaan.

"Di Terengganu, Alhamdulillah Wanita Umno berada dalam keadaan baik dan saya berpuas hati dengan persiapan dan kesiapsiagaan mereka...," katanya.

Tambah Shahrizat, untuk memenangi kerusi pilihan raya, dua elemen iaitu parti dan jentera haruslah menjadi keutamaan.

"Kalau parti bagus, tapi jentera tak bagus susah nak menang dan kalau jentera bagus parti tak bagus pun tak boleh jadi," katanya.

Sementara itu Ahmad Razif berkata perkara itu akan diserahkan kepada perdana menteri berdasarkan kepada cadangan yang diterima daripada bahagian-bahagian.

Wujud keperluan untuk dicadangkan calon wanita, sekurang-kurangnya seorang calon untuk satu Dewan Undangan Negeri (DUN), bagaimanapun semuanya bergantung kepada keputusan presiden (parti), katanya.

Ulasan saya, pada PRU2004, Datuk Seri Idris Jusoh telah menawarkan kepada ketua puteri negeri, Nordiana Shafie untuk bertanding di kerusi DUN Ladang tetapi Nordiana menolaknya. Maka kerusi itu diberi kepada Datuk Wan Hisham Wan Salleh bertanding dan beliau menang dan dilantik Exco apabila BN berjaya merampas semula negeri Terengganu daripada PAS.

Jika Nordiana bertanding di Ladang dan menang maka beliau yang jadi ADUN wanita yang pertama menang setelah sekian lama wanita tak menjadi YB di Terengganu. Pada tahun 2008, beliau bertanding di Batu  Buruk tetapi kalah.

Kali ini jika BN mahu meletakkan calon wanita maka Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu, Ahmad Razif Abdul Rahman perlu meletakkan calon wanita di kerusi yang selamat. Maka Razif boleh memilih di mana-mana kerusi yang selamat yang menjadi kubu kuat BN jika benar BN mahu melihat wanita pertama menjadi Exco di Terengganu.

No comments:

Post a Comment