IPOH, 29 Mei (Bernama) -- Kerajaan negeri yang ditadbir Pakatan Harapan (PH) dinasihatkan supaya tidak terburu-buru dalam mengambil sebarang tindakan ke atas syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di negeri masing-masing, khususnya selepas peralihan kuasa.
Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata menteri besar dan ketua menteri perlu mengambil tindakan yang dirasakan perlu berdasarkan kepada tadbir urus baik demi faedah kepada rakyat.
"Jangan gopoh mengambil tindakan, jangan sebab dendam dan iri hati. Saya tiada masalah dengan GLC kalau prestasinya baik dan jika menteri besar rasa ia sesuai diteruskan, saya tiada pandangan negatif, kita terima (diteruskan).
"Tetapi jika terbukti di peringkat persekutuan berlaku pembaziran, pertindihan dan pembayaran elaun keterlaluan kepada tokoh politik, ini harus dihentikan," katanya kepada pemberita selepas mengadakan perjumpaan dengan Menteri Besar Perak Ahmad Faizal Azumu dan barisan exco kerajaan negeri di sini, hari ini.
Dalam konteks Perak, Anwar berkata menteri besar dan exco perlu memberi perhatian terhadap mana-mana GLC yang didapati melanggar tadbir urus terbaik.
No comments:
Post a Comment