Saturday, May 12, 2018

SELEPAS TIGA PENGGAL KALAH MAT SABU AKHIRNYA JADI MENTERI PERTAHANAN

KUALA LUMPUR, 12 Mei (Bernama) -- Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu hari ini dilantik sebagai Menteri Pertahanan di dalam kabinet kerajaan baharu yang diterajui Pakatan Harapan, selepas ia memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14.

Pelantikan Mohamad itu diumumkan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada sidang media selepas mesyuarat khas berkaitan pembentukan Kabinet di Wisma Yayasan Selangor, Petaling Jaya hari ini.

Mat Sabu merupakan seorang tokoh politik yang cukup terkenal dengan kelantangannya dan mempunyai keistimewaan tersendiri dalam kalangan peminat politik tempatan.

Popular di peringkat akar umbi, Mat Sabu sering menjadi 'penarik' di pentas-pentas ceramah di seluruh pelosok negara dengan 'hidangan' cerita-cerita panas, kontroversi dan jenaka berkait politik tanah air.

Biarpun sering dilabel sebagai ahli politik dengan pendekatan lapuk dan tidak mempunyai imej pemimpin nasional, Mat Sabu kini berjaya membuktikan beliau bukan sekadar 'pemanas' pentas ceramah apabila dilantik sebagai Menteri Pertahanan dalam barisan kabinet yang dibentuk kerajaan baharu pimpinan Pakatan Harapan.

Dilahirkan pada 14 Oktober 1954, anak jati Tasek Gelugor, Pulau Pinang itu bersekolah di Pulau Pinang sebelum menyambung pelajaran dalam jurusan pemakanan di Institut Teknologi MARA (ITM) yang kini dikenali Universiti Teknologi MARA (UiTM)

Beliau telah berkahwin dengan Normah Alwi dan mempunyai empat orang anak.

Kerjaya politik Mat Sabu bermula apabila beliau menyertai Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) pada 1975 sebelum menganggotai PAS pada 1981.

Mat Sabu memegang pelbagai jawatan dalam PAS antaranya ialah Timbalan Presiden PAS untuk penggal 2013 hingga 2015, Naib Presiden PAS dan Timbalan Ketua Pemuda PAS bagi dua penggal, 1989 hingga 1991 dan 1993 hingga 1995.

Beliau pernah ditahan sebanyak dua kali di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri atau ISA (Internal Security Act) pada tahun 1984 sehingga 1986 atas tuduhan terlibat dalam gerakan pelampau dan kali kedua dari tahun 1987 hingga 1989 di tahan bawah Operasi Lalang dilancarkan polis bagi menangkap mereka yang menimbulkan kekacauan akibat isu politik ketika itu.

Mat Sabu pernah menjadi Anggota Parlimen Nilam Puri, Kelantan dari tahun 1990 hingga 1995, Anggota Parlimen Kubang Kerian, Kelantan dari 1995 hingga 1999 dan Anggota Parlimen Kuala Kedah di Kedah dari 1999 hingga 2004.

Pada 16 September, 2015 Mat Sabu menubuhkan parti Amanah dan menjadi presiden pertamanya.

Parti Amanah pada awal penubuhannya disertai bekas anggota PAS selepas berlaku perpecahan dalam parti itu (PAS) susulan tindakan parti Islamik itu menamatkan kerjasama politik dengan DAP sehingga menyebabkan gabungan Pakatan Rakyat yang mewakili pembangkang ketika itu berakhir.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment