ALOR SETAR, 10 Mei (Bernama) -- PAS Kedah sedang menunggu keputusan kepimpinan PAS Pusat berhubung tindakan yang perlu diambil setelah parti memenangi 15 daripada 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) ini.
Pesuruhjaya PAS negeri Dr Ahmad Fakhruddin Sheikh Fakhrurazi berkata ia berikutan situasi Kedah ketika ini yang masih belum dapat membentuk kerajaan negeri walaupun Pakatan Harapan (PH) menguasai negeri itu dengan 18 kerusi DUN.
"Kerajaan negeri yang baharu masih belum dapat dibentuk berikutan majoriti mudah bagi negeri Kedah adalah 19 kerusi DUN.
"PAS bertuah dapat tambah bilangan kerusi DUN menjadi 15, manakala Parlimen tiga kerusi iaitu di Jerai, Pendang dan Sik. Cuma bilangan (kerusi DUN) tersebut tidak dapat untuk PAS bentuk kerajaan. Bagaimanapun, PAS sedia untuk berada dalam apa saja posisi sama ada menjadi pembangkang atau kerajaan di negeri ini bergantung kepada PAS Pusat.
"Kalau menjadi pembangkang, kami akan menjadi pembangkang yang kuat dan jika mahu membentuk kerajaan pula, apa yang paling mustahak adalah membentuk kerajaan yang stabil dari segi politik," katanya dalam sidang media khas di Kompleks PAS Kedah di Kota Sarang Semut, dekat sini awal pagi ini.
No comments:
Post a Comment