Friday, May 18, 2018

SEMUA KETUA BAHAGIAN PERLU LETAK JAWATAN



HULU TERENGGANU 18 Mei - Sebagaimana yang dijangkakan, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Jailani Johari mengumumkan peletakan jawatan dalam parti itu dan Barisan Nasional (BN) berkuat kuasa hari ini.


Jailani turut melepaskan jawatannya sebagai Ketua UMNO Bahagian Hulu Terengganu kepada timbalannya, Datuk Rozi Mamat sehingga pemilihan jawatankuasa baharu.


Beliau yang juga bekas Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia turut mendesak Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri , Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman turut berbuat demikian bagi memikul tanggungjawab sebagai punca kekalahan teruk BN.

"Kini rakyat (menunjukkan) tidak mahu (kepemimpinan) Ahmad Razif, rakyat telah bersuara... saya juga mendengar suara dari bahagian meminta saya berundur dan saya sahut seruan tersebut," katanya.

Beliau menyatakan demikian ketika merasmikan Mesyuarat Berkelompok dan Sayap di Dewan UMNO Bahagian Hulu Terengganu, petang tadi.

Tambahnya lagi, rakyat sudah mula bersuara dan menyatakan kehendak mereka, dan kini UMNO/BN perlu bangkit dengan perubahan dilakukan bukan sahaja di peringkat pucuk pimpinan UMNO.

"Semua kesilapan, keegoan dan sikap cantas mencantas antara satu sama lain perlu dibuang kerana rakyat sudah bosan dengan apa yang berlaku bagi memastikan UMNO kembali bangkit dan diperkasakan bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15)," ujarnya.

Jailani bekas penyandang kerusi Parlimen Hulu Terengganu penggal lalu tidak dicalonkan semula dalam PRU-14.

Sebelum ini, Ketua UMNO Bahagian Kuala Terengganu, Datuk Mohd Sabri Alwi turut membuat kenyataan menerusi laman sosial mengenai keputusannya melepaskan jawatan.

Namun beliau belum melakukan secara rasmi bagi memberi laluan kepada bakal penggantinya untuk kembali memulakan gerak kerja parti selepas PRU-14.

Keputusan itu dibuat bagi mengotakan janjinya semasa mengambil alih teraju kepemimpinan bahagian.

Ahmad Sabri dilaporkan berkata beliau akan melepaskan jawatan jika UMNO dan BN sekali lagi gagal memenangi sebarang kerusi dalam kawasan Parlimen Kuala Terengganu.

Sementara itu Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Terengganu Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman menghormati pendirian Datuk Seri Jailani Johari yang meletak jawatan sebagai Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu.

Beliau yang merupakan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Takir berkata keputusan itu adalah hak peribadi Johari tanpa sebarang paksaan.

Mengenai desakan Johari supaya beliau turut mengundurkan diri juga adalah hak Johari dalam melahirkan pendapat berhubung kekalahan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) namun memutuskan tidak akan berbuat demikian ketika ini.

"BN Terengganu sedang melakukan bedah siasat berkenaan perkara tersebut dan ia tentunya akan mencapai kata putus tidak lama lagi.

"Namun buat masa ini, mengundurkan diri daripada tanggungjawab memulihkan parti secara tergesa-gesa bukanlah tindakan tepat apatah lagi semua pihak berada dalam keadaan getir dan perlu bersama-sama menggalas tanggungjawap kerana masih ada rakyat yang menyokong serta memilih BN," katanya  ketika dihubungi di sini hari ini.

Ahmad Razif yang merupakan bekas Menteri Besar Terengganu turut menyeru supaya anggota yang masih setia untuk terus bersama-sama menharungi cabaran mendatang.

"Marilah kita sama-sama harungi detik mencabar ini tetapi jika terdapat desakan berterusan daripada anggota parti supaya saya mengundurkan diri, biarlah ia dibuat dengan cara istiqomah seiring semangat berpasukan yang sentiasa bersama di saat suka dan duka," katanya

Ulasan saya, semua lapan ketua bahagian perlu lepaskan jawatan kerana gagal mempertahankan BN pada PRU lalu.

Di Besut, Ketua Bahagian, Nawi Mohamad gagal mempertahankan DUN Kota Putera. Pada PRU13, Ketua Bahagian, Datuk Seri Idris Jusoh menyapu bersih semua empat DUN.

Di Setiu, Datuk Mohd Jidin Shafee gagal mempertahankan DUN Jabi sedangkan pada PRU lalu beliau berjaya menyapu bersih empat kerusi dalam parlimen Setiu.

Di Kuala Nerus, Datuk Seri Razif Abdul Rahman gagal menawan semula DUN Tepuh, DUN Buluh Gading dan DUN Bukit Tunggal yang kalah pada PRU 13.

Di Kuala Terengganu, Datuk Md Sabri Alwi gagal menawan empat kerusi DUN Wakaf Mempelam, DUN Ladang, DUN Batu Buruk dan DUN Bandar.

Di Marang, Latif Awang hilang empat kerusi di Pengkalan Berangan, Bukit Payong, Ru Rendang dan  Alor Limbat.

Di Hulu Terengganu, Datuk Jailani Johari meletakkan jawatan kerana bertangungjawab kalah di DUN Ajil, DUN Kuala Berang dan DUN Manir.

Di Dungun, Datuk Din Adam gagal  menawan tiga DUN lain iaitu Rantau Abang, Sura dan Paka. Di Kemaman pada PRU 13, Datuk Seri Ahmad Said gagal di Chukai tetapi kali ini beliau gagal juga di Kemasik dan Air Putih.

Oleh itu semua ketua bahagian perlu melepaskan jawatan atas tanggungjawab menerima kekalahan dan berilah kepada orang baharu menerajui bahagian pada pemilihan hujung tahun ini.



1 comment:

  1. Bekas MB masih tidak boleh menerima hakikat kekalahan teruk. Post mortem sebaiknya dilakukan oleh independent party untuk lebih ketelusan dan clarity bagi mengelakkan elemen-elemen syok sendiri oleh bekas MB tersebut.

    ReplyDelete