Showing posts with label jailani johari. Show all posts
Showing posts with label jailani johari. Show all posts

Friday, May 18, 2018

SEMUA KETUA BAHAGIAN PERLU LETAK JAWATAN



HULU TERENGGANU 18 Mei - Sebagaimana yang dijangkakan, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Jailani Johari mengumumkan peletakan jawatan dalam parti itu dan Barisan Nasional (BN) berkuat kuasa hari ini.


Jailani turut melepaskan jawatannya sebagai Ketua UMNO Bahagian Hulu Terengganu kepada timbalannya, Datuk Rozi Mamat sehingga pemilihan jawatankuasa baharu.


Beliau yang juga bekas Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia turut mendesak Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri , Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman turut berbuat demikian bagi memikul tanggungjawab sebagai punca kekalahan teruk BN.

"Kini rakyat (menunjukkan) tidak mahu (kepemimpinan) Ahmad Razif, rakyat telah bersuara... saya juga mendengar suara dari bahagian meminta saya berundur dan saya sahut seruan tersebut," katanya.

Beliau menyatakan demikian ketika merasmikan Mesyuarat Berkelompok dan Sayap di Dewan UMNO Bahagian Hulu Terengganu, petang tadi.

Tambahnya lagi, rakyat sudah mula bersuara dan menyatakan kehendak mereka, dan kini UMNO/BN perlu bangkit dengan perubahan dilakukan bukan sahaja di peringkat pucuk pimpinan UMNO.

"Semua kesilapan, keegoan dan sikap cantas mencantas antara satu sama lain perlu dibuang kerana rakyat sudah bosan dengan apa yang berlaku bagi memastikan UMNO kembali bangkit dan diperkasakan bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15)," ujarnya.

Jailani bekas penyandang kerusi Parlimen Hulu Terengganu penggal lalu tidak dicalonkan semula dalam PRU-14.

Sebelum ini, Ketua UMNO Bahagian Kuala Terengganu, Datuk Mohd Sabri Alwi turut membuat kenyataan menerusi laman sosial mengenai keputusannya melepaskan jawatan.

Namun beliau belum melakukan secara rasmi bagi memberi laluan kepada bakal penggantinya untuk kembali memulakan gerak kerja parti selepas PRU-14.

Keputusan itu dibuat bagi mengotakan janjinya semasa mengambil alih teraju kepemimpinan bahagian.

Ahmad Sabri dilaporkan berkata beliau akan melepaskan jawatan jika UMNO dan BN sekali lagi gagal memenangi sebarang kerusi dalam kawasan Parlimen Kuala Terengganu.

Sementara itu Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Terengganu Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman menghormati pendirian Datuk Seri Jailani Johari yang meletak jawatan sebagai Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu.

Beliau yang merupakan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Takir berkata keputusan itu adalah hak peribadi Johari tanpa sebarang paksaan.

Mengenai desakan Johari supaya beliau turut mengundurkan diri juga adalah hak Johari dalam melahirkan pendapat berhubung kekalahan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) namun memutuskan tidak akan berbuat demikian ketika ini.

"BN Terengganu sedang melakukan bedah siasat berkenaan perkara tersebut dan ia tentunya akan mencapai kata putus tidak lama lagi.

"Namun buat masa ini, mengundurkan diri daripada tanggungjawab memulihkan parti secara tergesa-gesa bukanlah tindakan tepat apatah lagi semua pihak berada dalam keadaan getir dan perlu bersama-sama menggalas tanggungjawap kerana masih ada rakyat yang menyokong serta memilih BN," katanya  ketika dihubungi di sini hari ini.

Ahmad Razif yang merupakan bekas Menteri Besar Terengganu turut menyeru supaya anggota yang masih setia untuk terus bersama-sama menharungi cabaran mendatang.

"Marilah kita sama-sama harungi detik mencabar ini tetapi jika terdapat desakan berterusan daripada anggota parti supaya saya mengundurkan diri, biarlah ia dibuat dengan cara istiqomah seiring semangat berpasukan yang sentiasa bersama di saat suka dan duka," katanya

Ulasan saya, semua lapan ketua bahagian perlu lepaskan jawatan kerana gagal mempertahankan BN pada PRU lalu.

Di Besut, Ketua Bahagian, Nawi Mohamad gagal mempertahankan DUN Kota Putera. Pada PRU13, Ketua Bahagian, Datuk Seri Idris Jusoh menyapu bersih semua empat DUN.

Di Setiu, Datuk Mohd Jidin Shafee gagal mempertahankan DUN Jabi sedangkan pada PRU lalu beliau berjaya menyapu bersih empat kerusi dalam parlimen Setiu.

Di Kuala Nerus, Datuk Seri Razif Abdul Rahman gagal menawan semula DUN Tepuh, DUN Buluh Gading dan DUN Bukit Tunggal yang kalah pada PRU 13.

Di Kuala Terengganu, Datuk Md Sabri Alwi gagal menawan empat kerusi DUN Wakaf Mempelam, DUN Ladang, DUN Batu Buruk dan DUN Bandar.

Di Marang, Latif Awang hilang empat kerusi di Pengkalan Berangan, Bukit Payong, Ru Rendang dan  Alor Limbat.

Di Hulu Terengganu, Datuk Jailani Johari meletakkan jawatan kerana bertangungjawab kalah di DUN Ajil, DUN Kuala Berang dan DUN Manir.

Di Dungun, Datuk Din Adam gagal  menawan tiga DUN lain iaitu Rantau Abang, Sura dan Paka. Di Kemaman pada PRU 13, Datuk Seri Ahmad Said gagal di Chukai tetapi kali ini beliau gagal juga di Kemasik dan Air Putih.

Oleh itu semua ketua bahagian perlu melepaskan jawatan atas tanggungjawab menerima kekalahan dan berilah kepada orang baharu menerajui bahagian pada pemilihan hujung tahun ini.



Wednesday, April 4, 2018

KERAJAAN SASAR 2,000 SAINTIS DATA MENJELANG 2020

KUALA LUMPUR, 4 April (Bernama) -- Kerajaan menyasar untuk melahirkan 2,000 saintis data menjelang 2020 bagi membantu negara bergerak memasuki era revolusi perindustrian keempat (Industri 4.0), kata Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Jailani Johari.

Beliau berkata bagi mencapai sasaran itu, sokongan institusi pengajian tinggi dan sektor swasta diperlukan bagi menggalakkan golongan muda menerokai bidang yang bakal mempunyai permintaan tinggi itu.

Katanya program dan kerjasama berkaitan data terutamanya kepakaran dalam keselamatan siber perlu diutamakan kerana pendigitalan dan penggunaan internet yang meluas boleh membuka kepada pelbagai aktiviti jenayah siber.

"Buat masa sekarang, negara kekurangan pakar terutamanya dalam bidang data dan Teknologi Maklumat (IT). Kita perlu melatih lebih ramai lagi rakyat Malaysia dalam sains bagi memenuhi keperluan negara," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Asia Cybersecurity Exchange (AsiaCyberX) di sini, hari ini.

AsiaCyberX merupakan inisiatif yang menyediakan latihan kepada pelajar universiti tempatan bagi melahirkan pakar dalam bidang keselamatan siber.

Sebagai permulaan, seramai 240 pelajar dari lapan universiti awam dan swasta dipilih menyertai program latihan selama setahun itu yang dikendalikan oleh syarikat keselamatan siber , LE Global Services Sdn Bhd.

Terdahulu, dalam ucapannya, Jailani berkata pelancaran AsiaCyberX adalah tepat pada masanya memandangkan teknologi baharu dalam sektor FinTech, internet dan cloud memerlukan penyelesaian keselamatan siber yang baharu.

Bagaimanapun, katanya, kejayaan e-dagang dan ekonomi digital bukan hanya bergantung kepada kemajuan teknologi malah berpaut juga kepada nilai-nilai tradisional seperti kepercayaan.

"Ini (AsiaCyberX) adalah inisiatif yang baik tetapi ia juga perlu menangani isu etika dalam mengendalikan data. Kami mahu melahirkan pakar data yang bukan sahaja hebat dari segi teknikal malah beretika dalam hasil kerjanya," kata beliau.

-- BERNAMA

Friday, February 23, 2018

MALAYSIA FOKUS CAPAIAN INTERNET DI SELURUH NEGARA

KUALA BERANG, 23 Feb (Bernama) -- Malaysia menumpukan capaian internet dapat diakses rakyat di seluruh negara termasuk di kawasan luar bandar, kata Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Jailani Johari.

Beliau berkata dengan itu kadar kelajuan perkhidmatan internet di Malaysia tidak boleh dibandingkan dengan negara lain di rantau ini berikutan pendekatan yang digunakan kerajaan masing-masing dalam menyediakan perkhidmatan itu berbeza antara satu sama lain.

"Berbeza dengan negara Vietnam (contohnya), ia (capaian internet) lebih bertumpu ke bandaraya Ho Chi Minh...begitu juga dengan Singapura yang mempunyai jumlah penduduk tidak sama dengan Malaysia. Rangkaian jalur lebar dan 4G di Malaysia difokus secara menyeluruh ke seluruh negara," katanya kepada pemberita pada majlis Switch Onn dan Santai bersama Masyarakat di Tanah Lot Kampung Bukit Gemuroh, di sini, hari ini.

Jailani yang juga Anggota Parlimen Hulu Terengganu mengulas artikel yang disiarkan Free Malaysia Today semalam yang menyatakan Malaysia mempunyai rangkaian 4G di semua tempat tapi di antara yang paling perlahan.

Kajian dilakukan oleh Open Signal, sebuah syarikat pakar mengenai rangkaian pemetaan tanpa wayar itu menyatakan walaupun taraf 4G negara mencapai 74.88 peratus tetapi kelajuannya hanya 14.83 Mbps.

Jailani berkata Malaysia melaksanakan program pembangunan jalur lebar iaitu Program Perkhidmatan Sejagat (USB) yang dana disumbangkan oleh pihak pemberi perkhidmatan dan dikendalikan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) yang berperanan mengenal pasti lokasi terutamanya di kawasan luar bandar yang kurang liputan internet.

Beliau berkata negara turut memperluaskan rangkaian jalur lebar kepada penduduk berpandukan jumlah penduduk di sesuatu kawasan dengan memastikan dalam satu kilometer persegi yang mempunyai 80 orang penduduk perlu diliputi infrastruktur dan rangkaian telekomunikasi.

Selain itu, katanya pihak syarikat telekomunikasi menerusi syarat yang telah dipersetujui perlu menyediakan infrastruktur bagi memastikan di setiap kawasan di Malaysia akan dapat kemudahan capaian internet.

"Kami sedia maklum mengenai komen yang diberi dan saya ingin tekankan proses naik taraf daripada 3G kepada 4G sedang berlangsung ketika ini dan meliputi semua rangkaian di seluruh Malaysia.

"Disasarkan pada tahun 2025 kadar jalur lebar akan berada pada tahap 95 peratus berbanding 84 peratus sekarang," katanya.

Beliau berkata kadar jalur lebar di Malaysia adalah yang terbaik dengan setiap kawasan disediakan kemudahan itu.

-- BERNAMA