KUALA NERUS, 2 Mei (Bernama) -- Pemilihan lapan bekas guru sebagai calon Barisan Nasional (BN) Terengganu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) kali ini bagi menghargai jasa dan sumbangan golongan pendidik, kata Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman.
Beliau berkata golongan pendidik amat dekat di hati rakyat kerana jika mereka diberi peluang untuk melaksanakan sesuatu, hasilnya pasti tidak menghampakan rakyat.
"Kesemua mereka (bekas guru) ini juga adalah calon yang disukai oleh rakyat di akar umbi dan ini membuktikan bahawa masyarakat menaruh sepenuh keyakinan kepada guru dan bekas guru (yang menjadi calon)" katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis sambutan Hari Guru 2018 peringkat negeri di sini, hari ini.
Pada PRU14 ini, BN Terengganu menampilkan lapan bekas guru iaitu Ahmad Razif sendiri yang akan mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Takir, Dr Ghazali Taib (DUN Ajil), Datuk Rosol Wahid (Parlimen Hulu Terengganu), Bazlan Abdul Rahman (DUN Batu Rakit), A Latiff Awang (DUN Pengkalan Berangan), Datuk Rozi Mamat (DUN Telemong), Che Mansor Salleh (DUN Buluh Gading) dan Tuan Arif Sahibu Fadilah Tuan Ahmad (DUN Bukit Tunggal).
Terdahulu, dalam ucapannya, menteri besar berkata kecemerlangan bidang pendidikan di Terengganu adalah hasil kesepakatan semua warga guru serta dasar kerajaan negeri yang diamalkan oleh tiga bekas menteri besar sebelum ini.
Ahmad Razif berkata kesemua tiga menteri besar terdahulu amat menekankan pendidikan dan semasa di bawah pentadbiran Tan Sri Wan Mokhtar Wan Ahmad memberi tumpuan dalam memperkasakan aspek kemudahan fizikal pendidikan.
"Ia diteruskan oleh Datuk Seri Idris Jusoh yang memperjuangkan Terengganu sebagai bumi Darul Albab dan disambung oleh Datuk Seri Ahmad Said yang memperkenalkan slogan Negeri Anjung Ilmu dengan memperkasakan teknologi maklumat dalam pendidikan.
"Saya dan anda semua (guru) hanya meneruskan kecemerlangan mereka yang terdahulu dan BN akan terus memfokuskan kejayaan dalam bidang pendidikan jika terus diberi mandat memerintah negeri selepas PRU14 ini," katanya.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment