Friday, May 25, 2018
PPBM DIGESA BUAT PETISYEN SEMUA KERUSI DIMENANGI UMNO
PETALING JAYA: Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan menggesa PPBM mempetisyen semua kerusi yang dimenangi Umno bagi mengesahkan keputusan pilihan raya 9 Mei lepas.
Ahli Jawatankuasa Mobilisasi Pakatan Harapan (PH) itu khuatir terdapat kemungkinan unsur manipulasi semasa pengiraan undi bagi menyekat kemenangan PPBM, pesaing utama Umno dalam politik orang Melayu.
Mengambil pengalamannya sebagai contoh, Khairuddin yang tewas di Parlimen Jasin berkata PPBM mendahului di peringkat permulaan pengiraan undi tetapi diisytiharkan tewas dengan majoriti 219 undi pada 3.00 pagi.
Keputusan penuh pilihan raya umum ke-14 hanya diketahui di awal pagi 10 Mei.
Beliau turut mengambil contoh kes Borang Penyata Pengundian Selepas Pengiraan Undi, atau Borang 14, yang tidak ditandatangani ketua tempat mengundi serta tidak diserah pada wakil calon.
Borang 14 yang ditandatangani ketua tempat mengundi mengisytiharkan kemenangan calon-calon pilihan raya.
“Saya sarankan calon-calon PPBM masuk petisyen bantahan serta minta disemak semula kertas undi khususnya di kerusi dimenangi Datuk Seri Azalina Othman Said (Pengerang), Khairy Jamaluddin (Rembau) dan Datuk Seri Hishammuddin Hussein (Sembrong).
“Bahkan, banyak lagi kerusi-kerusi yang dimenangi calon Umno amat menyangsikan saya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau sudah membuat laporan polis atas keputusan diumumkan SPR berkenaan dan dalam proses menghantar petisyen mahkamah untuk membantah keputusan pilihan raya.
“Kita tidak boleh kompromi dengan segala bentuk salah laku penipuan pengiraan undi. Sesiapa yang terlibat mesti dihukum secara tegas dan seadil-adilnya.
“Kalangan pengkhianat dan ‘parasit’ ini mesti dihukum oleh undang-undang kerana mencemarkan amalan demokrasi,” katanya.
Labels:
khairuddin abu hassan,
petisyen
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment