Saturday, October 14, 2017
PROGRAM EKSPRESI MAMPU SEIMBANGKAN DUNIAWI DAN UKHRAWI
DUNGUN, 14 Okt (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata rakyat perlu menyeimbangkan kemajuan duniawi dan ukhrawi bagi mencapai matlamat Malaysia sebagai negara maju pada tahun 2020.
Beliau berkata perisai ukhrawi perlu dibina sebagai benteng pertahanan dalam memerangi pelbagai penyakit sosial yang akhirnya akan meruntuhkan akhlak masyarakat.
"Kita kena kembali kepada agama? apa pun pegangan agama rakyat Malaysia, kita harus perkukuhkan akhlak dan minda selaras dengan kemajuan terkini, ia perlu diutamakan.
"Terdapat negeri, daerah dan kawasan yang kita telah melabur banyak dari segi kemajuan dan pemberian pelbagai kemudahan tetapi akibat hanya beri kemajuan dari segi lahiriah semata-mata, kita (rakyat) hilang tempat berpijak, ini yang kita (kerajaan) mahu transformasikan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Ekspresi Negaraku dan Hari Sukan Negara peringkat negeri di Dataran Merdeka, Dungun, di sini, hari ini.
TPM Ahmad Zahid Hamidi dan MB Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman mencacakkan Jalur Gemilang pada replika Menara Petronas yang diperbuat daripada keropok lekor
Turut hadir Menteri Komunikasi dan MultimediaDatuk Seri Dr Salleh Said Keruak dan timbalannya Datuk Jailani Johari, Menteri Besar TerengganuDatuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman, Setiausaha Kerajaan Negeri TerengganuDatuk Wan Nawawi Wan Ismail dan Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Terengganu Datuk Mohd Zubir Embong.
Ahmad Zahid berkata Program Ekspresi Negaraku sebagai contoh mampu menterjemahkan keseimbangan dari segi kemajuan duniawi dan ukhrawi dengan penglibatan kerajaan, pihak swasta dan rakyat.
Program berkenaan, katanya dapat mengetengahkan ikon-ikon yang telah berjaya mentransformasikan diri mereka yang sebelum ini terlibat dalam gejala negatif kini kembali menyumbang kepada masyarakat dalam aspek positif.
Dalam nada bergurau beliau memberi contoh pelawak Nabil dan berkata: \"Contohnya Nabil, kalau dulu dia dikenali sebagai Mat Rempit, tetapi kini beliau sudah bergelar Haji Nabil, dan sikapnya kini semakin disenangi masyarakat,\" katanya.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata masyarakat yang seimbang dari segi duniawi dan ukhrawi dapat menjamin kelangsungan kemajuan dalam tempoh yang lama.
"Kerajaan juga tidak akan pernah berhenti untuk melakukan transformasi selepas 2020 tetapi hingga 30 tahun akan datang (Transformasi Nasional 2050) kerana kita mahu Malaysia diiktiraf sebagai antara 20 negara maju dalam peta dunia,\" katanya.
-- BERNAMA
Labels:
ekspresi negaraku,
zahid
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment