Showing posts with label kesan. Show all posts
Showing posts with label kesan. Show all posts

Friday, October 13, 2017

KESAN TINGKATKAN KESELAMATAN DI KAWASAN NELAYAN

KEMAMAN, 13 Okt (Bernama) -- Kumpulan Keselamatan Nelayan Nasional (Kesan) berkonsepkan kesukarelawanan yang dilancarkan hari ini bersempena Gelombang Nelayan Negara (GNN 2017) di Kuala Kerteh di sini akan dapat meningkatkan kecekapan dan keberkesanan aktiviti keselamatan di kawasan nelayan.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata Kesan adalah gabungan antara Sukarelawan Perikanan (Super) di bawah Jabatan Perikanan dan Kumpulan Keselamatan Nelayan (Kukenal) di bawah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) yang ditubuhkan beberapa tahun lepas.

"Kedua-dua kumpulan ini digabungkan untuk memantapkan dan meningkatkan sinergi kedua-dua pasukan," katanya selepas menyaksikan demonstrasi menyelamat melibatkan anggota Kesan, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) serta Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) di sini hari ini.

Ahmad Shabery berkata penggabungan ini menyaksikan jumlah anggota sukarelawan dalam kalangan nelayan terus bertambah sehingga hampir 8,500 orang di seluruh negara yang mana ia satu jumlah besar dan agensi kerajaan lain akan melengkapkan lagi keupayaan kumpulan ini.

Beliau berkata gabungan sukarelawan itu adalah satu inisiatif kerajaan dalam membantu misi bencana alam atau misi menyelamat bagi kemalangan di laut dan di darat yang melibatkan masyarakat nelayan.

"Kita tidak mahu ada lagi tragedi yang berlaku disebabkan kelalaian atau lambat bagi bantuan. Kesan akan bekerjasama dengan jabatan dan agensi keselamatan lain untuk tujuan ini," katanya.

Ditanya sama ada anggota Kesan mendapat perlindungan insurans, beliau berkata jumlah caruman hanya RM100 setahun dengan jumlah perlindungan ditingkatkan kepada RM150,000 berbanding RM100,000 sebelum ini.

"Caruman RM100 ini dipotong daripada elaun sara hidup yang diterima nelayan dan bagi nelayan yang tidak menerima elaun itu, mereka digalakkan membuat caruman sendiri untuk menikmati skim perlindungan itu," katanya.

Terdahulu, Ahmad Shabery yang juga Anggota Parlimen Kemaman turut menyampaikan replika cek sebanyak RM138,000 kepada 20 peserta yang terlibat dalam program Jaya Diri Kemaman untuk perniagaan.

-- BERNAMA






Monday, September 26, 2016

TINDAKAN SHAFIE APDAL TIDAK BERI KESAN KEPADA POLITIK SABAH

KUALA LUMPUR (Bernama) -- Keputusan bekas naib presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal untuk mengambil alih sebuah parti yang diasaskan di Sabah, dilihat oleh penganalisis politik sebagai laluan pintas yang menyediakan platform politik untuk beliau bertanding pilihan raya umum akan datang.

Walaupun masih awal untuk mengetahui kesan daripada langkah beliau itu, penganalisis bagaimanapun percaya bahawa bekas Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah itu tidak mungkin memberi kesan terhadap senario politik Sabah, mahupun menyebabkan sebarang perubahan besar dalam sokongan rakyat terhadap Umno.

Khamis lepas, Shafie pergi ke pejabat Pendaftar Pertubuhan (RoS) di Putrajaya untuk memutuskan sebarang perubahan kepada nama parti, logo dan pelbagai butiran lain. Turut hadir, Anggota Dewan Undangan Negeri Sulabayan Datuk Jaujan Sambakong, dan bekas naib presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang juga Anggota Parlimen Penampang Darell Leiking.

Shafie, yang mengambil alih sebuah parti yang ditubuhkan di Sabah pada 2013, memberitahu pemberita bahawa nama dan lain-lain butiran baharu parti itu hanya akan diumumkan selepas RoS meluluskannya.

PARTI ASAL SABAH

Penganalisis politik Prof Madya Dr Jeniri Amir berkata adalah jelas bahawa Mohd Shafie cuba untuk menjimatkan masa dan tenaga dengan mengambil alih parti sedia ada kerana urusan untuk mendaftarkan parti baru akan memakan masa.

"Dengan khabar angin yang tersebar bahawa pilihan raya akan diadakan lebih awal, mengambil alih (sebuah parti yang tidak aktif) adalah satu langkah bijak. Dia (Shafie) kini perlu mempunyai strategi (untuk memastikan kejayaan parti)," kata Jeniri, yang berkhidmat di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).

Tanpa sokongan kuat daripada peringkat akar umbi dan senarai calon-calon yang boleh dipercayai, agak sukar bagi parti itu untuk memenangi sokongan rakyat, katanya.

Selain itu, cabaran paling besar bagi Shafie adalah untuk menyatukan semua parti pembangkang di negeri itu di bawah satu pakatan.

"Dia tahu bahawa satu-satunya cara untuk dia (kekal dalam politik) adalah dengan memberi tumpuan kepada Sabah dan bukannya menebarkan sayapnya ke Semenanjung. Inilah hakikat praktikalnya. Saya tidak memandang rendah terhadap Datuk Seri Shafie tetapi pengaruhnya adalah terhad kepada kumpulan tertentu," kata Jeniri.

Seorang lagi penganalisis politik, Dr Suffian Mansor berkata keputusan Shafie untuk mengambil alih sebuah parti yang diasaskan di Sabah mungkin berpunca daripada fakta bahawa kebanyakan ahli-ahli politik Sabah dan Sarawak tidak mahu dikaitkan dengan parti-parti dari Semenanjung.

"Adalah bijak bagi beliau untuk tidak menyertai PPBM (Parti Pribumi Bersatu Malaysia). Dia perlu mendapat sokongan akar umbi masyarakat tempatan. Seperti yang anda tahu, rakyat di Sabah dan Sarawak lebih suka menyokong parti tempatan. Jika dia bergabung dengan PPBM, pasti ramai yang akan akan menyoalnya tentang bagaimana dia akan berjuang untuk membela hak-hak Sabah," katanya.

Suffian, pensyarah kanan Pusat Pengajian Sejarah, Politik dan Strategi di Universiti Kebangsaan Malaysia berkata Shafie mungkin telah mengkaji pilihan raya negeri Sarawak baru-baru ini dan menyedari bagaimana sentimen tempatan memberi kesan terhadap keputusannya dan membolehkan Barisan Nasional (BN) memperoleh kemenangan besar.

(Pada pilihan raya Sarawak 7 Mei lepas, BN memenangi 72 daripada 82 kerusi Dewan Undangan Negeri.)

"Pertama, dia perlu menambat hati dan minda pengundi Sabah tetapi saya rasa akhirnya partinya akan bergabung dengan PPBM.

"Tetapi kini, masalah yang paling besar adalah bagaimana parti itu akan bekerjasama dengan PKR di Sabah. DAP tidak menjadi masalah kerana mereka lebih cenderung untuk bertanding di kawasan majoriti Cina; PKR, di sisi lain, akan memilih untuk kerusi campuran dan juga majoriti Islam," kata Suffian.

MUNGKIN BEKERJASAMA DENGAN USNO BARU

Pensyarah kanan di Fakulti Sains Sosial UNIMAS Dr Arnold Puyok percaya bahawa Shafie berkemungkinan "menyekutukan dirinya" dengan Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu atau USNO Baru, yang ditubuhkan pada 2013.

"Bagaimanapun, saya kira pengundi Islam berkemungkinan besar akan menyokong CM (Ketua Menteri) Musa Aman dan pemimpin-pemimpin Bajau lain seperti Datuk Seri Salleh Said Keruak (Menteri Komunikasi dan Multimedia)," katanya.

Profesor Madya di Jabatan Sosiobudaya Universiti Malaya (UM) Dr Awang Azman Awang Pawi berkata penyertaan parti yang diterajui Shafie dalam politik Sabah boleh menjejaskan PKR lebih daripada BN atau parti-parti pembangkang lain seperti DAP.

"Kesan awal terhadap PKR berlaku selepas Darell keluar parti (untuk menyertai Shafie). Di Sabah, adalah perkara biasa untuk ahli-ahli politik melompat dari satu parti kepada yang lain. Sekarang kesemua mata tertumpu kepada (Ketua PKR Sabah) Datuk Seri Lajim Ukin... pastinya menarik untuk melihat apakah langkah beliau seterusnya. Adakah beliau akan menyertai parti Shafie?"

Awang Azman berkata politik Sabah sangat bersifat kenegerian dan pembentukan satu lagi parti pembangkang akan menolak PKR, yang merupakan parti nasional, terpinggir ke satu sudut.

Lajim, yang juga bekas Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, meninggalkan UMNO pada 2012 untuk menyertai PKR. Beliau kini merupakan Ketua Pembangkang di Dewan Undangan Negeri Sabah.

PRAMATANG

Pengarah Pusat Penyelidikan Strategik dan Keselamatan Universiti Malaysia Sabah, Dr Zaini Othman pula berpendapat bahawa adalah terlalu awal untuk meramalkan kesan langkah terbaru Shafie.

"Ia adalah jelas bahawa dia mahu menjadikan kehadirannya dirasai di Sabah selepas meninggalkan UMNO. Orang ramai telah menjangkakannya tetapi bagi saya, ia masih terlalu awal untuk menganalisis kesan politiknya ke atas Sabah dan pada peringkat kebangsaan," katanya.

-- BERNAMA