Friday, March 10, 2017
ZAIRIL TAK PERCAYA KEPADA RUKUN IMAN?
KUALA LUMPUR 10 Mac – Pas memulangkan ‘paku buah keras’ kepada Ahli Parlimen Bukit Bendera, Zairil Khir Johari apabila mengingatkan pemimpin DAP itu sebagai seorang Islam yang wajib percaya kepada hari akhirat.
Dengan nada sinis, Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Dr. Mahfodz Mohamed juga mengingatkan Zairil bahawa hidup di dunia ini tidak kekal selama-lamanya kerana ada ‘kesinambungannya’ di akhirat kelak.
Beliau pada masa sama menjawab sindiran Zairil dengan menegaskan perjuangan Pas selain mahu menang pilihan raya ialah untuk memastikan kejayaan itu diredai Allah.
“Ini jelas objektif Pas berdasarkan Perkara 5 untuk mewujudkan sebuah masyarakat di dalam negara yang melaksanakan hukum Islam dengan keredaan Allah. Kita sekali jalan keduanya.
“Pas tidak mahu menang cara tipu tetapi menang dengan cara diredai Allah, itu diajar Islam. Pas bukan sekadar mahu dapatkan undi daripada orang ramai, tetapi turut mengambil kira akhirat kelak.
“Waima orang Islam dalam DAP pun mesti faham perkara ini yang kehidupan kita bukan hanya di dunia ini, ada akhirat selepas ini,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Zairil dalam satu kenyataan secara sinis mempersenda dan mempertikaikan kewajaran Pas untuk terus berada dalam arena politik negara sekiranya parti itu lebih berminat bercakap mengenai keredaan Allah berbanding kemenangan pilihan raya sebagai pertimbangan strategi.
Mengulas lanjut, Mahfodz mengakui besar perbezaan di antara Pas dan DAP dengan parti diwakili Zairil itu yang sanggup menipu semata-mata mahu menang.
“Dulu, mereka berbaik-baik dengan Pas sehingga membentuk satu pakatan. Tetapi apabila rasa sudah kuat, mereka tolak dasar Islam Pas yang sebelum ini diterima. Sebab itu saya tegaskan bahawa Pas tidak akan berbaik semula dengan DAP.
“Jangan persendakan Pas, kami parti Islam sampai ke akhirat. Biarlah orang Islam dalam DAP pun, tetapi kita kena percaya pada Rukun Iman,” jelas beliau.
Labels:
dr mahfodz,
zairil
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment