Tuesday, March 28, 2017

UMILE RANCANG BINA PROJEK INTEGRASI LADANG SOLAR TERAPUNG PERTAMA NEGARA

KOTA BHARU, 28 Mac (Bernama) -- UMILE PLT (UMILE), sebuah syarikat bumiputera, merancang untuk membangunkan projek Integrasi Ladang Solar Terapung di Tasik Danau Tok Uban, Pasir Mas, melibatkan kos sebanyak RM400 juta.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan UMILE, Datuk Dr Nazily Mohd Noor berkata projek tersebut dengan kapasiti tenaga 49 Mega Watt (MW) adalah yang pertama di negara ini.

Sehubungan itu, beliau berkata pihaknya akan melakukan kajian kesesuaian tasik tersebut untuk dibangunkan dengan projek berkenaan.

Kajian tersebut yang akan mengambil masa antara lapan dan 12 bulan, melibatkan kerjasama dengan sebuah syarikat dari Taiwan iaitu Tien Ching Energy Group.

"Mulai bulan depan, kita akan menjalankan kajian feasibiliti iaitu merupakan kajian kesesuaian tapak dan kos, kajian daya maju, kajian bancian kuasa, kajian alam sekitar dan sebagainya," katanya kepada pemberita selepas majlis menandatangani memorandum perjanjian (MOA) antara UMILE dan Tien Ching Energy Group, di sini, hari ini.

Pada majlis itu, UMILE diwakili Nazily manakala Tien Ching Energy Group diwakili pengerusinya Chih Chung Yeh (HE).

Nazily berkata hasil kajian tersebut akan diserahkan kepada kerajaan Kelantan untuk tindakan lanjut.

Beliau berkata selain tenaga solar, pihaknya juga merancang untuk melaksanakan projek ternakan ikan dalam sangkar di kawasan berkenaan.

"Projek Integrasi Ladang Solar Terapung dirancang membabitkan hanya 80 hektar daripada 640 hektar keluasan tasik tersebut," katanya dengan menambah pembinaan dijangka siap dalam tempoh 18 bulan.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment