Wednesday, March 29, 2017

PKR AKAN TUMBANG DI DUN BANDAR?

KUALA TERENGGANU, 29 Mac (Bernama) -- PKR Terengganu akan terus kekal sebagai pembangkang dan meneruskan kerja-kerja politik bersendirian jika Pas mengambil keputusan menghentikan kerjasama politik kedua-dua parti bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke 14 kelak.

Pengerusi PKR Terengganu merangkap Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Bandar, Azan Ismail berkata gerak kerja dan motif PKR Terengganu sekali-kali tidak akan berubah dalam usaha menumbangkan kerajaan pimpinan Barisan Nasional (BN) di negeri ini.

"Saya (PKR) akan terus kekal sebagai pembangkang. Apa sahaja yang berlaku akan berbalik kepada pengundi dan saya percaya para pengundi di negeri ini matang dalam membuat keputusan untuk memilih parti mana yang menjadi pilihan mereka kelak," katanya ketika ditemui Bernama di luar persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun), di sini semalam.


Azan diminta mengulas laporan media semalam mengenai keputusan empat kawasan PAS Terengganu yang sebulat suara mahu membawa usul menghentikan kerjasama politik dengan PKR pada Muktamar PAS di Kota Sarang Semut, Kedah pada 28 April depan.

Empat kawasan itu ialah Dungun, Marang, Kuala Terengganu dan Kuala Nerus.

Mengulas mengenai jumlah kerusi yang bakal ditandingi PKR pada PRU ke 14, beliau berkata perkara itu belum dibincangkan, namun yang pasti katanya pembangkang mempunyai strategi yang kukuh dalam memastikan BN tidak lagi memerintah negeri itu kelak.

"Meskipun Pas mahu bertanding di semua 32 kerusi sekalipun, itu adalah keputusan dia dan kita (PKR) tak boleh ikut keputusan sebegitu dan bermakna akan ada pertandingan tiga penjuru nanti.

"Namun kita (pembangkang) mempunyai garis panduan yang kukuh untuk menentang BN dan saya sendiri akan tetap bertanding melawan BN dalam PRU akan datang," katanya.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment