Wednesday, March 1, 2017

DUA BEKAS PEGAWAI KANAN FELDA DIDAKWA PECAH AMANAH RM48 JUTA

KUALA LUMPUR, 1 Mac (Bernama) -- Dua bekas pegawai kanan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan pecah amanah dan bersubahat melibatkan wang hampir RM48 juta, tiga tahun lepas.

Bekas Timbalan Pengarah Besar (Pengurusan Sumber Strategik) FELDA, Muhammad Sufi Mahbub, 53, menghadapi dua pertuduhan pecah amanah manakala bekas Pengarah Besar FELDA, Datuk Faizoull Ahmad, 57, didakwa atas dua pertuduhan bersubahat.

Kedua-dua tertuduh mengaku tidak bersalah atas kesemua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Allaudeen Ismail.


Bagi dua pertuduhan itu, Muhammad Sufi didakwa sebagai orang yang telah diamanahkan dengan penguasaan ke atas dana FELDA melakukan pecah amanah jenayah ke atas dana organisasi itu iaitu dengan curangnya melupus dan meluluskan dua pembayaran masing-masing RM25,999,000 dan RM21,625,500 tanpa kelulusan Lembaga Pengarah FELDA atau Jawatankuasa Tender FELDA.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Bangunan Wisma FELDA, Jalan Perumahan Gurney, di sini, antara 13 Jan 2014 dan 23 Julai 2014 mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dengan sebatan dan boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Faizoull pula dituduh bersubahat dengan Muhammad Sufi atas kedua-dua pertuduhan sama mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman serupa, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib tidak menawarkan sebarang jaminan tetapi sekiranya mahkamah membenarkan jaminan beliau memohon jumlah RM1 juta dikenakan terhadap setiap tertuduh.

Peguam Mohd Irwan Mohd Mubarak yang mewakili Muhammad Sufi dan peguam Azad Bashir yang mewakili Datuk Faizoull merayu supaya anak guam mereka dibenarkan diikat jamin kerana mereka adalah penanggung utama keluarga masing-masing.

Allaudeen membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin RM1 juta dengan seorang penjamin setiap seorang dan menetapkan 27 April sebagai tarikh sebutan semula kes.

"Kedua-dua tertuduh dibenarkan membayar deposit RM500,000 pada hari ini manakala baki RM500,000 dilunaskan pada atau sebelum 22 Mac depan. Sekiranya baki RM500,000 tidak ada wang tunai, mahkamah juga membenarkan jaminan mengikut geran tanah nilai setara serta pasport diserahkan kepada mahkamah," katanya.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment