Showing posts with label rumah. Show all posts
Showing posts with label rumah. Show all posts

Saturday, July 1, 2017

32,000 HADIRI RUMAH TERBUKA TPM

PUTRAJAYA, 1 Julai (Bernama) -- Kira-kira 32,000 tetamu menghadiri majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan isteri, Datin Seri Hamidah Khamis di kediaman rasminya di Sri Satria di sini hari ini.


Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri, berpakaian baju Melayu berwarna biru dan isteri yang mengenakan baju kurung, bersalaman dan beramah mesra dengan pengunjung.

Majlis bermula 11.45 pagi itu dimeriahkan dengan kehadiran barisan Menteri Kabinet, pemimpin komponen parti Barisan Nasional (BN), duta asing, pengurusan tertinggi kerajaan serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC), dan diikuti orang ramai pada 2 petang.

Pada majlis itu, 220 anak yatim daripada Pertubuhan Kebajikan dan Pendidikan Al'Mahabbah, Klang dan Rumah Kebajikan Asnaf, Keramat, turut diraikan dan menerima sumbangan duit raya dan hamper.

Tetamu yang hadir disajikan dengan 50 menu, antaranya sate, murtabak, ketupat, laksa, kuih raya, cendol dan buah-buahan.

Majlis yang berakhir kira-kira 6.30 petang itu turut dimeriahkan dengan persembahan oleh artis tempatan antaranya Datuk Siti Nurhaliza dan Suffian Suhaimi.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid gembira dengan kehadiran rakyat berbilang kaum pada majlis itu, dan berharap rakyat terus bersama-sama mendukung kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam mendepani ancaman yang dihadapi negara.

"Kita tahu pelbagai ancaman menerjah negara kita, walaupun kita mempunyai daya tahan, tetapi jangan izinkan pemimpin kita berdiri sendiri tanpa dukungan daripada rakyat kerana yang diserang adalah negara," katanya ketika lintas langsung bersama Radio Televisyen Malaysia (RTM) pada majlis itu.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada anggota pasukan keselamatan yang bertugas mempertahankan negara pada musim perayaan Aidilfitri.

"Kepada mereka yang belum sempat untuk bersama-sama dengan keluarga berhari raya, mereka diberi kelonggaran untuk bertemu dengan isteri, anak-anak dan keluarga (selepas ini)," katanya.

Ahmad Zahid turut menasihatkan orang ramai yang akan pulang ke ibu kota selepas berhari raya di kampung halaman agar berhati-hati di jalan raya.

"Lazimnya apabila mereka pulang berhari raya di kampung, mereka cukup berhati-hati tetapi apabila kembali ke ibu kota mereka terburu-buru menyebabkan kadar kemalangan meningkat. Maka saya berharap mereka lebih berhati-hati di jalan raya," katanya.

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata konsep rumah terbuka pada musim perayaan dapat mengukuhkan perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama.

Tuesday, May 16, 2017

19 RUMAH BINA NEGARA SUDAH DISERAH KEPADA PEMILIK

KUALA NERANG, 16 Mei (Bernama) -- Sebanyak 19 buah Rumah Bina Negara (RBN) yang diluluskan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) bernilai RM1.2 juta telah diserahkan kepada pemiliknya bermula awal tahun ini.

Pengarah Risda Kedah, Ramli Tumin berkata daripada jumlah itu, masih terdapat lima rumah di daerah Baling masih belum diserahkan kerana tidak boleh diduduki ekoran masih menunggu bekalan elektrik dan air disambungkan ke rumah berkenaan.

Setakat Mei, 14 rumah telah siap dibina dan diserahkan kepada pemiliknya melibatkan lapan buah RBN di daerah Padang Terap, tiga di Sik dan dua di Kulim.