Sunday, April 29, 2018

ADNAN TERTINGGAL WATIKAH SEMPAT JADI CALON BN

KUALA LUMPUR, 29 April (Bernama) -- Calon baharu Barisan Nasional (BN) bagi kawasan Parlimen Bandar Tun Razak, Adnan Seman, yakin faktor anak tempatan mencerahkan peluangnya membantu BN merampas kerusi parlimen itu daripada pembangkang dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

"Sebagai anak tempatan Bandar Tun Razak, kawasan ini begitu dekat dengan hati saya... jadi 'roh' itu amat kuat. Wakil rakyat sebelum ini orang luar dan hanya memenuhi kepentingan politik, bukannya bersifat untuk berkhidmat kepada masyarakat setempat," katanya kepada Bernama hari ini.

Adnan, 42 anak jati Kampung Malaysia di sini berkata kebanyakan penduduk di kawasan itu adalah golongan M40 dan B40 antaranya termausk penjaja dan peniaga kecil yang mahukan nasib mereka dibela termasuk dari segi menambah baik kemudahan kawasan perniagaan yang sedia ada.

"Mereka ini antara golongan yang terkesan dengan kemajuan pesat bandaraya dengan banyak kawasan dibangunkan sedangkan kawasan gerai perniagaan semakin mengecil," katanya sambil menambah terdapat lebih 1,000 penjaja di kawasan ini.

Justeru, berjanji akan berusaha menyelesaikan masalah yang mereka hadapi sekiranya diberikan mandat oleh pengundi di kawasan ini.

Beliau juga berjanji untuk menangani isu warga asing yang mendominasi perniagaan di sesetengah kawasan di sini supaya kelangsungan ekonomi penjaja dapat ditingkatkan.

Adnan berkata beliau merancang menubuhkan pusat khidmat guaman yang bermatlamat membantu golongan berpendapatan rendah mendapatkan bantuan guaman secara percuma.

"Ini termasuklah mewujudkan skuad sukarelawan guaman bagi menguruskan perkara berkaitan perundangan termasuk isu tanah, rumah dan harta pusaka, katanya yang merupakan graduan undang-undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia."

Parlimen Bandar Tun Razak yang terletak di pinggir ibu negara adalah antara kawasan perumahan yang luas dan pesat membangun dengan lebih setengah juta penduduk dan dilengkapi dengan kemudahan dan jaringan pengangkutan awam yang lengkap termasuk LRT, ERL, Komuter dan bas di Terminal Bersepadu Selatan

Kawasan Parlimen ini mempunyai 83,650 pemilih terdiri daripada 29.19 peratus Cina, 61.96 peratus Melayu, 8.18 peratus India dan 0.67 peratus kaum lain.

Pada PRU14, Adnan akan menghadapi perlawanan tiga penjuru dengan calon PAS Dr Rosni Adam, dan calon PKR Datuk Kamarudin Jaffar.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment