KUALA LUMPUR, 8 April (Bernama) -- Barisan Nasional (BN) yakin untuk memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 kerana fenomena Tsunami Melayu yang digembar-gemburkan oleh pihak pembangkang tidak akan berlaku, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak. sebagaimana dilaporkan oleh Channel NewsAsia.
"Tidak akan ada Tsunami Melayu dalam Pilihan Raya Umum Ke-14. Saya tidak mengatakan kami adalah parti yang terbaik dalam dunia tapi alternatifnya teruk," katanya seperti dipetik oleh Channel NewsAsia.
Dalam satu wawancara pada 6 April lepas, Salleh yang juga Bendahari UMNO berkata Malaysia mengalami kepesatan pembangunan yang ketara dalam tempoh lima tahun lepas di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, satu fakta yang tidak diberi perhatian utama oleh media.
Beliau berkata ekonomi Malaysia sudah melangkah jauh sejak Najib mengambil alih tampuk pemerintahan pada 2009 dan pendapatan negara kasar meningkat lebih daripada 50 peratus sementara 2.3 juta pekerjaan baharu diwujudkan, pengangguran dan inflasi terkawal pada kadar yang rendah dan kemiskinan hampir dihapuskan.
"Sementara media memilih untuk tidak memperdulikan kesemua perkara ini, rakyat Malaysia yang telah menyaksikan peningkatan yang ketara dalam kehidupan mereka, lebih tahu. Justeru kami yakin untuk mengekalkan jumlah majoriti kami di parlimen," kata Salleh.
Salleh berkata pihak pembangkang, yang sudah lama mendapat kebanyakan sokongan kaum Cina, patut lebih risau sama ada masyarakat Cina akan mengulangi sokongan yang sama dalam pilihan raya kali ini.
"'Pembangkang bekerjasama dengan seseorang seperti Mahathir (Tun Dr Mahathir Mohamad), yang berulang kali membangkitkan isu perkauman semasa berkuasa, akan mengakibatkan pengundi
Cina beralih daripada menyokong pembangkang," katanya.
Beliau berkata Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang dipimpin Dr Mahathir tidak memberi ancaman kepada UMNO kerana tidak ada parti yang ditubuhkan kerana dendam dan atas kegagalan dalam UMNO, berjaya dalam sejarah Malaysia.
Tindakan Mahathir dan beberapa orang kroninya dalam UMNO, kebanyakannya adalah mereka yang sudah bersara dan tidak memainkan peranan aktif meninggalkan parti, tidak memberi sebarang kesan . UMNO tidak pernah sebegini bersatu pada masa ini dan makin bertambah kuat,? katanya.
Mengenai cukai barang dan perkhidmatan (GST), Salleh memberi jaminan manfaatnya akan dirasai rakyat tidak lama lagi.
"Banyak pakar ekonomi menjelaskan, ekonomi akan menghadapi masalah besar jika kerajaan tidak memperkenalkannya."
"Daripada membuat keputusan berdasarkan pertimbangan jangka pendek, kami mengambil keputusan yang sukar untuk kepentingan terbaik negara dan rakyat. Perjalanan ini, ke arah memperkukuhkan ekonomi kami, adalah usaha yang berterusan dan kami yakin mereka yang masih belum nampak manfaatnya akan sedar tidak lama lagi," kata beliau.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment