Monday, April 2, 2018

33,523 PEKEBUN KECIL GEMBIRA TERIMA DIVIDEN RM112.33 JUTA

TEMERLOH, 2 April (Bernama) -- Pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengenai pengagihan dividen berjumlah RM112.33 juta kepada 33,523 pekebun kecil Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) di seluruh negara, nyata membawa kegembiraan kepada para pekebun kecil di sini.

Rata-rata mereka menyifatkan pemberian dividen itu sebagai 'durian runtuh' yang meringankan beban kewangan selain sebagai membakar semangat untuk mengusahakan tanaman getah atau kelapa sawit dengan lebih gigih.

Man Mustapa, 42, dari perkampungan Orang Asli Paya Sendayan di sini, berkata dividen itu akan digunakan untuk menampung perbelanjaan seharian keluarganya termasuk enam anak.

"Dua anak saya masih bersekolah...saya memang bergantung sepenuhnya dengan hasil getah yang harganya tidak menentu," katanya selepas majlis Penyampaian Dividen RISDA Peringkat Nasional di Dewan Majlis Perbandaran Temerloh, Simpang Peragap, Kampung Ketam, Kerdau di sini, hari ini.

Kamsiah Harun, 66, dari Kampung Kuala Mai, Kuala Krau juga gembira untuk menerima dividen daripada kebun getah peninggalan orang tuanya sejak 30 tahun lepas.



Pekebun dari Kampung Rumpun Makmur di sini, Robiah Kari, 68, berkata pemberian dividen dan pelbagai bantuan daripada RISDA membuktikan keprihatinan kerajaan terhadap golongan pekebun kecil.

"Pendapatan kami memang tidak menentu terutamanya semasa musim tengkujuh... sebab itu bersuyukur sangat apabila kerajaan beri bantuan RM200 sebulan semasa kami tidak boleh menoreh," katanya.

Pasangan warga emas Mohd Rafiai Idris, 74, dan isteri Saemah Mohd Shariff, 73, dari Kampung Paya Jejawai di sini, pula berkongsi cerita bahawa mereka sudah beberapa kali mengerjakan umrah menggunakan dividen RISDA yang diterimanya sebelum ini.

Mereka kini mempunyai tanah seluas 1.2 hektar yang ditanam kelapa sawit sejak 2002.

"Bayaran jualan hasil biasanya dibayar setiap tiga bulan dan ditambah dengan dividen yang dibayar setahun sekali. Kami simpan untuk pergi umrah dan Lembaga Tabung Haji untuk mengerjakan haji.

"Kami tidak dikurniakan cahaya mata, jadi hasil jualan kelapa sawit ini cukup untuk menampung perbelanjaan harian dan dijadikan simpanan," katanya.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment