Saturday, April 28, 2018

TIADA UNSUR CAJ KETING DI TERENGGANU PADA HARI PENAMAAN CALON

KUALA TERENGGANU, 28 April (Bernama) -- Tiada unsur 'cah keting' (sabotaj) dikesan dalam kalangan parti komponen Barisan Nasional (BN) Terengganu pada hari penamaan calon Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) di negeri ini, hari ini.

Biarpun budaya 'cah keting' menjadi ancaman dalam mana-mana parti politik apabila calon baharu menggantikan penyandang atau calon 'wannabee' (menaruh harapan) gagal mendapat tempat bertanding.

Bagaimanapun, lain pula halnya, dalam BN Terengganu, apabila pemimpin yang digugur atau gagal menjadi calon tidak menyimpan dendam tetapi sebalik turun padang untuk memberi sokongan kepada calon pilihan parti pada hari penamaan calon di beberapa kawasan.

Di Hulu Terengganu, kemunculan penyandang kerusi Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Seri Jailani Johari, sejak 7 pagi tadi bagi memberi sokongan kepada penggantinya, bekas exco kerajaan negeri, Datuk Rosol Wahid jelas memberi impak yang sangat besar untuk BN mengekalkan kerusi itu.

Malah, kedatangan Jailani, timbalan menteri Komunikasi dan Multimedia, disambut dengan sorakan dan tepukan gemuruh oleh kira-kira 12,000 penyokong BN sebelum mengikuti perarakan calon BN ke pusat penamaan di Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Terengganu.

Di Dungun, bekas Anggota Parlimennya, Datuk Rosli Mat Hassan (menang pada PRU11 dan kalah pada PRU13) hadir memberi sokongan kepada calon kawasan itu termasuk calon Parlimen Datuk Din Adam dan juga Roslee Daud, yang merupakan penyandang dan calon BN bagi DUN Bukit Besi.

Di Kemaman pula, bekas menteri besar, Datuk Seri Ahmad Said yang terus tercalon di DUN Kijal beriringan menuju ke pusat penamaan di Dewan Berlian Majlis Perbandaran Kemaman, dengan calon DUN Cukai, Datuk Mohamed Awang Tera.

Ahmad pernah mengeluarkan kenyataan bahawa Mohamed adalah calon yang pernah berpaling tadah dan bertindak melakukan sabotaj terhadap BN pada PRU13 hingga menyebabkan calon BN di kerusi tersebut, Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid tewas kepada calon PAS, Hanafiah Mat.

Selain senario ?berbaik-baik' ini, ramalan sesetengah pihak akan berlaku pertembungan tiga penjuru di semua lapan Parlimen dan 32 DUN di Terengganu ternyata menjadi kenyataan.

Pertembungan tiga penjuru itu melibatkan BN, PAS dan PKR tanpa sebarang calon Bebas.

Pada PRU13, BN dan PAS masing-masing memenangi empat kerusi Parlimen di negeri itu manakala BN memenangi 17 kerusi DUN, PAS 14 dan satu kerusi oleh PKR.

Barisan calon BN Terengganu yang terdiri daripada gabungan penyandang, muka baharu dan calon yang kembali bertanding dilihat mampu memberi kelebihan kepada BN.

Kehadiran penyokong paqda hari penamaan calon juga memberi gambaran awal tentang kecederungan sokongan terhadap sesebuah parti, malah hasil tinjauan Bernama mendapati hanya BN dan PAS yang meriah dengan pembawa bendera dan penyokong hingga ada yang sanggup membanjiri kawasan penamaan sejak awal pagi.

Sebaliknya, PKR hanya melibatkan tidak lebih daripada 100 orang termasuk calon dan penyokong.

Dalam pada itu, pakar motivasi, Tengku Asmadi Tengku Mohamad, pendatang baharu dalam dunia politik, bakal menghadapi cabaran sengit di kerusi Parlimen Kuala Nerus apabila bersaing dengan Pengarah Institut Strategi PAS, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali dan juga Abdullah Muhamad (PKR-Amanah).

Di Besut, Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Seri Idris Jusoh terus kekal bertanding di kerusi Parlimen Besut dan menghadapi saingan daripada sepupunya, Datuk Ir Wan Nazari Wan Jusoh (PKR-PPBM), selain calon PAS, Dr Riduan Mohamad Nor.

Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman, juga akan bersaing dengan sepupunya, Che Ku Hashim Che Ku Mat (PKR-PPBM) di kerusi DUN Kuala Besut, selain Azbi Salleh (PAS).

Di Kuala Terengganu, penyandang DUN Bandar dari PKR, Azan Ismail menarik perhatian ramai apabila mengenakan baju melayu berwarna biru muda yang menjadi pakaian yang sama sejak bertanding dalam PRU12 (di Parlimen Indera Mahkota) dan PRU13 (DUN Bandar).

Beliau akan berdepan dengan Ahmad Shah Mohamed (PAS) dan Toh Seng Cheng (BN-UMNO).

Sementara itu, di Marang, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, yang diiringi lebih 500 penyokong, sempat melakukan solat sunat hajat di masjid Kampung Kijing sebelum berarak ke pusat penamaan calon di Pejabat Daerah, kira-kira 1.5km dari masjid berkenaan.

Pemimpin PAS itu akan mempertahankan kerusi Parlimen Marang dalam pertandingan tiga penjuru melibatkan calon BN diwakili Mohamad Nor Endut (UMNO) dan Dr Zarawi Sulong daripada PKR-Amanah.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment