Monday, July 1, 2019

AHLI PARLIMEN DIWAJIBKAN ISYTIHAR HARTA

KUALA LUMPUR, 1 Julai (Bernama) -- Usul mewajibkan semua Anggota Parlimen mengisytiharkan harta masing-masing diluluskan sebulat suara pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong ketika menggulung usul itu berkata ia adalah usaha pertama kerajaan pimpinan Pakatan Harapan bagi memastikan prinsip akauntabiliti dan ketelusan diamal secara lebih menyeluruh selain bertujuan menangani rasuah.

“Pembanterasan rasuah adalah paling penting bagi kerajaan Pakatan Harapan… usul ini juga menjadi langkah pertama dalam menangani isu rasuah dan akauntabiliti.

“Langkah-langkah lain akan dilakukan pada masa (lain) sesi persidangan Dewan Rakyat,” katanya.

Menurut Liew, usul itu akan terpakai kepada semua Anggota Parlimen dan suami atau isteri masing-masing, anak mereka berumur 21 tahun ke bawah, dan pemegang amanah berkaitan.

Terdahulu semasa perbahasan, usul berkenaan rata-ratanya mendapat sokongan para anggota Parlimen kerajaan.

Antara mereka ialah Cha Kee Chin (PH-Rasah), yang berkata langkah mewajibkan pengisytiharan harta tidak akan menghalang Anggota Parlimen untuk menambah harta atau menjadi kaya jika terlibat dalam perniagaan.

"Yang penting, setiap harta yang kita peroleh melalui jalan sah dan tertakluk kepada pembayaran cukai Lembaga Hasil Dalam Negeri yang akhirnya kerajaan mengutip hasil daripada pendapatan kita," katanya.

Anggota Parlimen pembangkang termasuk Datuk Seri Azalina Othman Said (BN-Pengerang) dan Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (PAS-Kubang Kerian) yang secara umumnya bersetuju dengan usul itu mahu cadangan dilakukan dengan lebih terperinci menerusi penggubalan rang undang-undang khusus atau meminda rang undang-undang sedia ada bagi memastikan pelaksanaannya mengikut landasan undang-undang.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment