Saturday, April 20, 2019

DAPATKAN PAKEJ CANDAT SOTONG DARI PENGUSAHA YANG SAH

KUALA TERENGGANU, 20 April (Bernama) -- Pelancong yang ingin mengikuti aktiviti candat sotong dinasihatkan supaya berhati-hati dan mendapatkan perkhidmatan daripada pengusaha berlesen.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman berkata ia bagi menjamin keselamatan mereka, terutama dalam tuntutan insurans sekiranya berlaku kejadian tidak diingini.

Katanya mereka boleh mendapatkan perkhidmatan sembilan agensi rasmi yang menawarkan pakej mencandat sotong dengan harga berpatutan serta kemudahan bot yang selesa.

"Kita amat mengalu-alukan kedatangan pelancong yang datang ke Terengganu untuk merasai pengalaman mencandat sotong tetapi perlu cari yang berdaftar," katanya selepas melancarkan Karnival Maghi Candat Sotong 2019, di sini hari ini.

Seramai 580 peserta dengan 43 bot menyertai pertandingan mencandat sotong anjuran kerajaan negeri dengan kerjasama Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Tourism Malaysia Terengganu.

Mengulas lanjut, Ariffin berkata aktiviti mencandat sotong yang merupakan aktiviti tahunan dalam kalendar pelancongan negeri sentiasa mendapat sambutan menggalakkan dari tahun ke tahun.

Katanya selain pelancong dari dalam negara, terdapat juga pelancong dari Singapura dan Brunei yang membuat tempahan bot merasai sendiri pengalaman mencandat sotong yang tidak ada di tempat lain.

"Kedatangan Ramadan juga tidak menjejaskan kedatangan pelancong yang datang untuk merasai pengalaman ini. Menurut maklumat nelayan, kesemua bot mereka telah ditempah penuh bermula April hingga September oleh pelancong dari luar Terengganu," katanya.

Tambahnya, aktiviti mencandat sotong juga telah memberi limpahan ekonomi kepada masyarakat tempatan termasuk peniaga kecil dan penjaja.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment