Sunday, April 28, 2019

TERENGGANU AKAN BINCANG DENGAN KELANTAN DASAR ISYTIHAR HARTA

KUALA TERENGGANU, 28 April (Bernama) -- Kerajaan negeri Terengganu akan berbincang dengan Kelantan berhubung keperluan melaksanakan dasar mengisytiharkan harta dan larangan menerima hadiah membabitkan kepimpinan tertinggi kerajaan negeri.

Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, perkara itu juga akan dibawa untuk perbincangan dengan PAS di peringkat pusat kerana ia memerlukan perincian mendalam agar tindakan yang diambil nanti sentiasa konsisten dengan keputusan yang dimuktamadkan.

"Kita sangat serius dalam perkara yang melibatkan integriti ini. Kalau kita nak jadi model terbaik di peringkat negeri dan negara, tentulah sangat penting untuk pastikan tiada ruang yang boleh menggangu kestabilan integriti di negeri ini," katanya.

Beliau berkata demikian selepas mendengar taklimat khas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Terengganu bersama pentadbiran kerajaan negeri yang turut dihadiri Pengarah SPRM Terengganu, Mohd Zaki Hassan, di sini hari ini.

Ditanya mengenai pembabitan pegawai kerajaan negeri dengan gejala rasuah, Ahmad Samsuri berkata, beliau sentiasa memberi ingatan kepada semua pegawai dan kakitangan agar menghindari perkara tersebut.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment