Monday, April 29, 2019

TOK MAT WAJAR PIMPIN UMNO



SHAH ALAM 29 April - Ahli Parlimen Rembau yang juga bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin secara berterus-terang memberitahu yang parti tersebut perlu terus dipimpin oleh Timbalan Presiden Datuk Seri Mohamad Hasan dan bukannya diserah kembali kepada Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.



Tegas bekas Menteri Belia dan Sukan tersebut, Ahmad Zahid walaupun masih bergelar Presiden UMNO tetapi terpalit isu peribadi melibatkan kes pendakwaan di mahkamah, manakala Mohamad yang mengambil alih tugas memimpin parti sudah membuktikan kemampuannya dalam tiga pilihan raya kecil.


Katanya, sama juga seperti kes Datuk Seri Najib Tun Razak yang kini sedang membela diri di mahkamah, UMNO tidak boleh lagi memperlihatkan sikap cuba menegak benang yang basah, kerana rakyat sudah menghukum parti berkenaan dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu akibat skandal pemimpin.

“Parti yang sedang dipimpin Tok Mat (Mohamad) kini berada dalam landasan yang tepat walaupun mungkin proses perubahan itu tidak dapat beliau laksanakan dengan sepenuhnya kerana terpaksa berdepan pilihan raya kecil.

“Saya hormat kedua-dua pemimpin ini (Najib dan Ahmad Zahid) tetapi zamannya sudah berlalu tetapi alhamdulillah apabila saya menegurnya dalam hal ini, Datuk Ahmad Zahid mengambil langkah bercuti,” katanya dalam program Bicara Minda di Kompleks Karangkraf di sini hari ini.


Ketokohan Mohamad terserlah apabila berjaya mengembalikan suntikan semangat kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN) selepas kekalahan dalam PRU-14 apabila beliau berjaya memimpin parti memenangi tiga pilihan raya kecil secara berturut-turut iaitu Cameron Highland, Semenyih dan Rantau.

No comments:

Post a Comment