Saturday, July 14, 2018

KERAJAAN TERENGGANU SEDIA SPONSOR TANGAN PALSU



KUALA TERENGGANU, 14 Julai (Bernama) -- Kerajaan negeri sedia menaja kos rawatan Nur Zulaikha Khumaira Zulkifli, 7, untuk mendapatkan tangan palsu agar kanak-kanak itu dapat meneruskan kehidupan dengan lebih baik.

Menteri Besar Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata beliau akan melawat kanak-kanak itu dalam masa terdekat.

"Semoga sumbangan yang tidak seberapa ini dapat membantu adik Khumaira meneruskan kehidupan seperti biasa. Diharapkan juga agar adik Khumaira dan keluarga tabah serta cekal menerima dugaan yang berat ini," katanya menerusi catatan laman sosial Facebook beliau hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 9.30 malam semalam, mangsa putus lengan kiri selepas bajunya tersangkut pada rim motosikal ketika membonceng motosikal yang ditunggang kakak sepupunya, Noor Aina Hananie Razalie, 18, untuk ke rumah penghulu kampung bagi mendapatkan cop pengesahan permohonan pembiayaan pendidikan Yayasan Terengganu (YT).

Kemalangan di Kampung Binjai Bongkok dekat Marang itu menjadi tular dan mendapat perhatian rakyat Malaysia yang simpati dengan nasib malang kanak-kanak tersebut.

No comments:

Post a Comment