Saturday, July 21, 2018

DAPATKAH LOKMAN KURANGKAN MAJORITI PKR?



SHAH ALAM: Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis pada 4 Ogos ini menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon PKR, BN dan Bebas.

Ia melibatkan calon PKR Mohd Zawawi Ahmad Mughni, calon BN Datuk Lokman Noor Adam dan calon Bebas, K. Murthy.

Pegawai Pengurus PRK DUN Sungai Kandis, Datuk Ahmad Zaharin Mohd Saad membuat pengumuman itu pada pukul 10.25 pagi di pusat penamaan calon di Dewan Besar Tanjung, Majlis Bandaraya Shah Alam, Seksyen 19 di Shah Alam hari ini.

PRK DUN Sungai Kandis diadakan berikutan kematian penyandangnya Mat Shuhaimi Shafiei akibat kanser limfoma pada 2 Julai lepas.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14, 9 Mei lepas, Mat Shuhaimi yang mewakili PKR mempertahankan kerusi DUN Sungai Kandis (dahulu Sri Muda) untuk penggal ketiga berturut-turut dengan memperoleh 23,998 undi menentang calon BN, Datuk Kamaruzzaman Johari (11,518), calon PAS, Mohd Yusof Abdullah (7,573) dan calon Parti Rakyat Malaysia (PRM) Hanafiah Husin (76).

Mat Shuhaimi menang dengan majoriti 12,480 undi.

Ulasan saya, dapatkah calon BN, Lokman Noor Adam mengurangkan majoriti yang dimenangi PKR tiga bulan lepas?

Amat mustahil untuk BN menang apatah lagi calon PKR ketika itu menang dengan majoriti 12,480 undi. Tetapi dengan letaknya seorang aktivis Umno yang sudah dikenali umum, maka peluang untuk mengurangkan undi PKR amat cerah tambahan pula calon PKR dari kem Datuk Seri Anwar Ibrahim dan bukannya dari kem MB, Amiruddin Shaari.

Penyokong PKR dari kem Datuk Seri Azmin Ali tidak puas hati dengan pemilihan Ustaz Zawawi sebagai calon. Sudah tentu mereka akan mengundi calon BN kerana Lokman adalah bekas pemimpin PKR yang pernah bersama mereka. Lokman pernah ditahan di bawah ISA dan akhirnya beliau lari dari PKR dan menyertai Umno.

Soal beliau orang luar tidak timbul kerana MB Selangor pun orang Johor dan bukannya anak jati Selangor. Bagi saya, BN akan beri tentangan sengit kepada PKR tetapi BN tidak lagi kerajaan pusat maka cara kempen kali ini tidak sama seperti PRK Sungai Besar yang mana pemimpin BN dapat mengumumkan peruntukan kerana ketika itu mereka adalah pemimpin kerajaan pusat.

Keputusan PRK Sungai Kandis nanti akan menunjukkan bahawa dalam masa tiga bulan sejauh mana pengundi Sungai Kandis  dapat menerima kerajaan PH yang menjanjikan pelbagai manifesto. Sama sama kita tunggu 4 Ogos nanti.

No comments:

Post a Comment