Monday, July 23, 2018

PM TIDAK PUAS HATI DENGAN KEHADIRAN MENTERI DI SIDANG PARLIMEN

KUALA LUMPUR, 23 Julai (Bernama) -- Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata beliau kini bekerja siang dan malam dan akan 'bekerja 36 jam sehari' jika boleh.

"Saya sudah pun memanjangkan masa saya selama yang boleh. Saya bekerja 24 jam sehari, jika anda boleh carikan saya lebih banyak masa dalam sehari, katakanlah 36 jam, saya akan bekerja selama 36 jam juga," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini hari ini.

Perdana menteri mengulas tentang dakwaan jumlah kehadiran menteri dan timbalan menteri yang rendah dalam persidangan Dewan Rakyat, dan sama ada beliau bercadang untuk mewujudkan petunjuk prestasi utama (KPI) bagi mereka.

Dr Mahathir berkata menteri dan timbalan menteri perlu menghadiri persidangan parlimen seberapa kerap yang boleh.

Bagaimanapun, tegas beliau, mereka juga mempunyai tanggungjawab lain untuk dilaksanakan.

Ditanya sama ada beliau berpuas hati dengan jumlah kehadiran di pihak kerajaan dalam persidangan Dewan Rakyat yang sedang berlangsung, perdana menteri berkata: "Saya tidak pernah berpuas hati dengan apa pun tetapi saya fikir mereka perlu menambah baik dan perlu ada alasan yang sewajarnya untuk tidak hadir."

Rabu lepas, anggota parlimen daripada pembangkang mengkritik beberapa menteri dan timbalan menteri yang tidak hadir dalam sesi tengah hari persidangan Dewan Rakyat, oleh kerana Kabinet mengadakan mesyuarat mingguan mereka di Putrajaya.

Kerajaan kemudian mengubah mesyuarat mingguannya kepada Jumaat apabila Dewan Rakyat bersidang.

No comments:

Post a Comment