Wednesday, July 4, 2018

TIGA ADUN BN SOKONG SPEAKER DARI PH

ALOR SETAR, 4 Julai (Bernama) -- Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir mengucapkan terima kasih kepada tiga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) sekiranya benar mereka yang memberi undi bagi membolehkan Speaker daripada Pakatan Harapan (PH) dilantik pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.

Beliau berkata ini kerana proses pemilihan tersebut adalah secara rahsia iaitu melalui undian atas kertas yang dimasukkan ke dalam kotak sebelum dikira satu persatu oleh Setiausaha DUN negeri.

"Jadi kami tidak boleh nyatakan siapa daripada kalangan pembangkang yang beri tiga undi lebihan bagi membenarkan calon Speaker daripada PH dilantik hari ini...silap-silap mungkin daripada PAS? Tapi kalau benar begitu (ADUN BN undi), saya ucap terima kasih kepada mereka (ADUN BN)," katanya.

Pada Mesyuarat Pertama Penggal Pertama sidang DUN Kedah hari ini, Datuk Ahmad Kasim dilantik menjadi Speaker DUN apabila memperoleh 21 undi menewaskan Pesuruhjaya PAS negeri Dr Ahmad Fakhruddin Sheikh Fakhrurazi yang memperoleh 15 undi.

ADUN Ayer Hangat Juhari Bulat pula dilantik sebagai Timbalan Speaker DUN.

No comments:

Post a Comment