Showing posts with label samurai. Show all posts
Showing posts with label samurai. Show all posts
Monday, May 8, 2017
TERLEPAS PEDANG SAMURAI
“ Sebentar nanti sampai wakil pembeli pedang samurai, Ali,” kata Pak Long kepada Ali.
“Dia duduk di mana?” tanya Ali
“Duduk di Bandar Melaka,” ujar Pak Long.
“Siapa yang ada pedang samurai tu Pak Long?” sampuk Zaki.
“Kawan Pak Long kata ada di Jasin,” jawab Pak Long.
“Kawan saya Bob pun ada pedang samurai di Gopeng, Perak,” kata Zaki.
Setengah jam kemudian tiba Rahman dan Razak wakil pembeli pedang samurai di rumah Pak Long yang terletak di sebuah kampung di Masjid Tanah.
“Memang ada ke pedang samurai itu Pak Long?” tanya Rahman.
`Memang ada’
“Memang ada. Nanti Pak Long telefon dia,” kata Pak Long sambil mendail nombor telefon bimbit kawannya.
“Tak angkat panggilan pulak dia,” kata Pak Long.
“Tapi kawan saya ni, Zaki ada juga pedang samurai,” kata Pak Long sambil memperkenalkan Zaki dan Ali kepada Rahman dan Razak.
“Ada di Gopeng, Perak,” sampuk Zaki.
“Kita pergi ke sanalah Pak Long tengok pedangnya dahulu,” kata Rahman.
“Tak ada hal. Biar Zaki telefon kawannya,” ujar Pak Long.
Zaki terus hubungi Bob di Puchong. Bob kata esok boleh pergi ke Gopeng tengok pedang dan testnya.
Di mana Rahman?
“Pembelinya ada di mana Rahman?” soal Pak Long.
“Pembelinya dari Jepun akan sampai di Kajang minggu depan. Dia memang mencari pedang samurai yang kononnya dapat memotong paku lima inci,” kata Rahman.
“Untuk apa pedang itu?” soal Zaki.
“Entahlah. Saya pun tak tahu. Ketika Jepun datang ke Malaya 73 tahun dahulu memang pedang samurai itu digunakan untuk memenggal kepala orang yang menentang pemerintahan Jepun,” kata Rahman.
“Agaknya pedang samurai yang asli itu masih ada dalam negara kita,” kata Pak Long.
“Esok saya dengan Pak Long pergi ke Gopeng tengok pedang. Bila ahih pedang itu pedang samurai yang ikut speksifikasi pembeli tu, saya akan beritahu Encik Rahman,” sampuk Ali.
Puas hati dengan perjumpaan itu, Rahman dan Razak pun beredar dari rumah Pak Long. Malam itu Zaki dan Ali tidur awal kerana jam 8 pagi esok mereka akan berangkat ke Kuala Lumpur untuk menemui Bob.
Zaki dan Ali memang datang dari Kepong semata-mata menemui Pak Long di Masjid Tanah. Oleh kerana Pak Long mahu ke Kuala Lumpur dapatlah mereka menumpang Pak Long balik ke sana.
Sampai di Restoran Nagas berhampiran PWTC, Bob dan Pak Lah sudah menunggu ketibaan Pak Long dengan Zaki dan Ali.
`Berapa orang nak pergi?
“Berapa orang kita nak pergi ni? “ tanya Zaki.
“Saya, bini saya dan Pak Lah” kata Bob.
“Kalau begitu, kita pergi satu kereta cukuplah. Tak payah pergi dua kereta,” kata Ali.
“Pak Long naik Hilux Bob. Kereta Pak Long tinggalkan di sini saja,” kata Zaki.
“Kenapa kamu tak pergi Ali?” soal Pak Long.
“Tak muat. Kalau jalan jauh nak naik lima orang tak selesa. Jadi biarlah empat orang yang pergi,” kata Ali sambil menghulur wang RM100 kepada Bob kerana Bob kata dia tiada duit mahu beli minyak dan bayar tol.
Pukul 2 petang Pak Long bergerak ke Gopeng menemui tuan punya pedang samurai. Tuan punya itu saudara kepada bini Bob.
Ali dan Zaki menunggu ketibaan Pak Long di sebuah hotel murah di Chow Kit berhampiran KL International Hotel. Teapt jam 10 malam Pak Long tiba di hotel itu.
“Macam mana Pak Long? Dah uji pedang samurai itu?” tanya Ali.
“Nak uji macam mana. Tuan punya pedang nak deposit dahulu RM5,000,” kata Pak Long.
“Kenapa Bob tak cakap dari awal?” marah Zaki.
“Bob tak tahu kot,” kata Ali.
“Dia kata kalau potong paku tak putus, ambil balik RM5,000 itu,” kata Pak Long.
“Buang masa kita pergi ke sana. Kalau tahu dia nak deposit, tak perlu kita ke sana. Kita bukan pembeli cuma pergi uji bagi pihak pembeli saja,” kata Ali.
Bob lepak
Pagi esoknya selepas Pak Long bertolak ke Melaka. Ali dan Zaki singgah di Restoran Nagas untuk menemui Bob yang lepak di situ.
“Macam mana Bob semalam? Kenapa tak cakap tuan punya pedang suruh tunjuk deposit dahulu?” soal Zaki.
“Bila tuan punya pedang tanya Pak Long siapa pembeli Pak Long tak boleh jawab,” kata Bob.
“Betul juga.Sepatutnya Pak Long telefon Rahman,” kata Ali.
“Bukan salah tuan punya pedanglah. Dia ingat Pak Long nak main-main sebab itu dia suruh letak deposit dahulu,” kata Bob.
“Pak Long pun silap. Sepatutnya biarlah Rahman bercakap dengan tuan punya pedang,” ujar Zaki.
“Rahman itu siapa?” soal Bob.
“Rahman tu wakil pembeli. Pak Long tu broker macam kita juga,” jawab Ali.
“Tak ada rezeki kita,” kata Bob yang sudah mencongak wang hasil jualan pedang samurai yang boleh memotong paku lima inci itu sebanyak RM100 juta.
Thursday, April 27, 2017
SAMURAI DENGAN BATU ANTI TETAK
Pagi itu Idris menghubungi Zaki supaya mencari pembeli barang anti tetak.
“Barang apa?” tanya Zaki.
“Katanya parang anti tetak,” kata Idris melalui telefon bimbit.
“Nanti saya hubungi Datin Noriah,” kata Zaki.
Datin Noriah seorang janda umur 50an turut buat urusan jual beli barang mistik. Dia tinggal di Wangsa Maju. Suaminya seorang Datuk bekas pegawai kanan jabatan kerajaan.Walaupun mereka sudah lama bercerai tetapi orang masih memanggilnya Datin Noriah. Dia minta cerai dari suaminya apabila suaminya menikahi orang gaji Indonesia.
“Aku ada pembeli. Tapi aku tak dapat pergi. Kau uruslah dengan kawan aku, Musa,” kata Datin Noriah.
“Baiklah Datin,” kata Zaki.
Esoknya penjual batu anti tetak datang dari Gurun, Kedah. Idris membawanya menemui Zaki. Yang mengenali Samurai tuan punya batu anti tetak itu ialah Azlan dan Shahar.
Azlan orang Merbok yang mengenali Samurai atau nama sebenarnya Ahmad. Oleh kerana muka Ahmad macam orang Jepun, orang memanggilnya Samurai.
“Sekarang saya nak tunjuk bila pegang batu ini, parang ini jadi anti tetak. Maknanya parang itu tak lut,” kata Samurai.
“Datang dekat semua,” kata Samurai kepada Idris, Azlan, Shahar dan Zaki.
Batu berwarna putih
Mereka pun mengelilingi Samurai. Idris memegang batu yang diambil Samurai dari Kelantan. Samurai tak tahu apa nama batu berwarna putih itu.
Samurai mengeluarkan parangnya dan menetak mereka berempat. Walaupun hanya Idris yang memegang batu itu oleh kerana aura batu itu kuat, maka Shahar, Azlan dan Zaki pun terasa aura batu tersebut.
Terkejut mereka bertiga bila Samurai menetak mereka, mereka tidak rasa apa-apa walaupun mereka tidak memegang batu itu.
“Berapa harga nak jual?’” tanya Zaki.
“Saya nak RM100,000 saja. Yang lebih itu engkau orang punyalah,” kata Samurai.
“Okay,” jawab Zaki sambil tersenyum kerana Datin Noriah beritahu harga sebenar barang anti tetak ialah RM5 juta.
“Banyak betul broker dapat,” kata Zaki dalam hati.
Malam itu Zaki, Idris, Azlan, Shahar dan Samurai pergi ke Wira Damai menemui Musa yang merupakan pembantu penjual Haji Yusrin.
“Pukul berapa Haji Yusrin sampai?” tanya Zaki kepada Musa.
“Jam 12 malam dia sampai. Kita minum dulu,” pelawa Musa kepada Zaki dan kawan-kawannya.
“Berapa harga tuannya mahu?” tanya Musa kepada Zaki ketika mereka pergi ke kaunter minuman.
“Pemilik nak RM100,000 sahaja. Yang lebih kita punya, broker you dan broker I,” kata Zaki.
“Setuju,” jawab Musa.
`Kita uji’
Tepat jam 12 Haji Yusrin pun tiba di restoran tersebut dengan Mercedez model baru.
“Kita uji barang kebal umum dahulu,” kata Musa kepada Haji Yusrin. Musa ajak Haji Yusrin menemui tuan barang kebal umum yang berada di dalam kereta Myvi.
Ketika itu Zaki, Idris, Samurai, Azlan dan Shahar berada di tepi kereta Haji Yusrin. Mereka tak nak ganggu urusan orang lain.
10 minit kemudian Musa mengajak Haji Yusrin menemui Samurai.
“Ini tuan barang anti tetak,” kata Musa.
Haji Yusrin bersalam dengan Samurai.
“Barang apa?” tanya Haji Yusrin.
“Batu itu anti tetak. Pegang batu ini tak lut bila ditetak dengan parang,” kata Samurai lalu mengeluarkan parangnya.
“Kita tak uji dengan parang. Biasanya barang seperti ini kita uji dengan batang pisang. Masukkan batu itu dalam batang pisang, kalau tak lut pasti kita beli,” kata Haji Yusrin.
“Tapi saya biasa uji macam ini,” kata Samurai sambil menetak dirinya. Ketika itu Musa memegang batu itu kerana sudah menjadi dasar Haji Yusrin tidak memegang barang penjual.
“Kalau saya tetak dengan parang saya, putus tangan awak Samurai. Awak berani ke?” cabar Haji Yusrin.
“Dahulu dah empat orang suruh saya tetak dengan parang, sampai putus tangan,” sambung Haji Yusrin.
“Kalau awak ikut cara kami, kami jadi beli barang awak lepas uji terbukti anti tetak,” katanya lagi. Haji Yusrin pun beredar dari situ.
“Macam mana Samurai?” tanya Azlan.
“Kita baliklah. Barang saya mana boleh diletak dalam batang pisang,” kata Samurai mengajak Azlan dan kawan-kawannya balik.
Zaki hampa kerana harapan mereka mahu memiliki wang sebanyak RM2.45 juta pada malam itu tidak menjadi kenyataan.
Subscribe to:
Posts (Atom)

