Thursday, April 27, 2017
SAMURAI DENGAN BATU ANTI TETAK
Pagi itu Idris menghubungi Zaki supaya mencari pembeli barang anti tetak.
“Barang apa?” tanya Zaki.
“Katanya parang anti tetak,” kata Idris melalui telefon bimbit.
“Nanti saya hubungi Datin Noriah,” kata Zaki.
Datin Noriah seorang janda umur 50an turut buat urusan jual beli barang mistik. Dia tinggal di Wangsa Maju. Suaminya seorang Datuk bekas pegawai kanan jabatan kerajaan.Walaupun mereka sudah lama bercerai tetapi orang masih memanggilnya Datin Noriah. Dia minta cerai dari suaminya apabila suaminya menikahi orang gaji Indonesia.
“Aku ada pembeli. Tapi aku tak dapat pergi. Kau uruslah dengan kawan aku, Musa,” kata Datin Noriah.
“Baiklah Datin,” kata Zaki.
Esoknya penjual batu anti tetak datang dari Gurun, Kedah. Idris membawanya menemui Zaki. Yang mengenali Samurai tuan punya batu anti tetak itu ialah Azlan dan Shahar.
Azlan orang Merbok yang mengenali Samurai atau nama sebenarnya Ahmad. Oleh kerana muka Ahmad macam orang Jepun, orang memanggilnya Samurai.
“Sekarang saya nak tunjuk bila pegang batu ini, parang ini jadi anti tetak. Maknanya parang itu tak lut,” kata Samurai.
“Datang dekat semua,” kata Samurai kepada Idris, Azlan, Shahar dan Zaki.
Batu berwarna putih
Mereka pun mengelilingi Samurai. Idris memegang batu yang diambil Samurai dari Kelantan. Samurai tak tahu apa nama batu berwarna putih itu.
Samurai mengeluarkan parangnya dan menetak mereka berempat. Walaupun hanya Idris yang memegang batu itu oleh kerana aura batu itu kuat, maka Shahar, Azlan dan Zaki pun terasa aura batu tersebut.
Terkejut mereka bertiga bila Samurai menetak mereka, mereka tidak rasa apa-apa walaupun mereka tidak memegang batu itu.
“Berapa harga nak jual?’” tanya Zaki.
“Saya nak RM100,000 saja. Yang lebih itu engkau orang punyalah,” kata Samurai.
“Okay,” jawab Zaki sambil tersenyum kerana Datin Noriah beritahu harga sebenar barang anti tetak ialah RM5 juta.
“Banyak betul broker dapat,” kata Zaki dalam hati.
Malam itu Zaki, Idris, Azlan, Shahar dan Samurai pergi ke Wira Damai menemui Musa yang merupakan pembantu penjual Haji Yusrin.
“Pukul berapa Haji Yusrin sampai?” tanya Zaki kepada Musa.
“Jam 12 malam dia sampai. Kita minum dulu,” pelawa Musa kepada Zaki dan kawan-kawannya.
“Berapa harga tuannya mahu?” tanya Musa kepada Zaki ketika mereka pergi ke kaunter minuman.
“Pemilik nak RM100,000 sahaja. Yang lebih kita punya, broker you dan broker I,” kata Zaki.
“Setuju,” jawab Musa.
`Kita uji’
Tepat jam 12 Haji Yusrin pun tiba di restoran tersebut dengan Mercedez model baru.
“Kita uji barang kebal umum dahulu,” kata Musa kepada Haji Yusrin. Musa ajak Haji Yusrin menemui tuan barang kebal umum yang berada di dalam kereta Myvi.
Ketika itu Zaki, Idris, Samurai, Azlan dan Shahar berada di tepi kereta Haji Yusrin. Mereka tak nak ganggu urusan orang lain.
10 minit kemudian Musa mengajak Haji Yusrin menemui Samurai.
“Ini tuan barang anti tetak,” kata Musa.
Haji Yusrin bersalam dengan Samurai.
“Barang apa?” tanya Haji Yusrin.
“Batu itu anti tetak. Pegang batu ini tak lut bila ditetak dengan parang,” kata Samurai lalu mengeluarkan parangnya.
“Kita tak uji dengan parang. Biasanya barang seperti ini kita uji dengan batang pisang. Masukkan batu itu dalam batang pisang, kalau tak lut pasti kita beli,” kata Haji Yusrin.
“Tapi saya biasa uji macam ini,” kata Samurai sambil menetak dirinya. Ketika itu Musa memegang batu itu kerana sudah menjadi dasar Haji Yusrin tidak memegang barang penjual.
“Kalau saya tetak dengan parang saya, putus tangan awak Samurai. Awak berani ke?” cabar Haji Yusrin.
“Dahulu dah empat orang suruh saya tetak dengan parang, sampai putus tangan,” sambung Haji Yusrin.
“Kalau awak ikut cara kami, kami jadi beli barang awak lepas uji terbukti anti tetak,” katanya lagi. Haji Yusrin pun beredar dari situ.
“Macam mana Samurai?” tanya Azlan.
“Kita baliklah. Barang saya mana boleh diletak dalam batang pisang,” kata Samurai mengajak Azlan dan kawan-kawannya balik.
Zaki hampa kerana harapan mereka mahu memiliki wang sebanyak RM2.45 juta pada malam itu tidak menjadi kenyataan.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment