Tuesday, April 25, 2017

BARANG MISTIK SUKAR DAPAT PEMBELI



Kawan Zaki, Mat Amin baru balik dari Labuan. Dia bekerja di pelantar selama enam bulan sebagai penyelia kimpalan di platform. Apabila diserang darah tinggi, beliau diarah balik ke kampungnya di Pahang.

“Bila kau sampai dari Labuan?” tanya Zaki. Zaki juga berada di kampung untuk melihat anak bininya. Anak bininya memang duduk di Kuantan manakala Zaki duduk membujang di Kuala Lumpur.

“Baru sampai semalam. Oh ya, aku dengar kau ada main barang mistik. Betul ke Zaki?” soal Mat Amin.
“Betul. Kenapa?” soal Zaki pula.

“Bos aku orang Cina di Labuan sedang cari rantai babi (RB),” kata Mat Amin.

“Setahu aku RB tidak ada sekarang. Yang ada badal besi,” kata Zaki.

“Barang apa tu? Aku tak pernah dengar badal besi,” kata Mat Amin.

“Badal besi sejenis barang kebal umum juga. Ia boleh kebal api, tangan tidak terbakar apabila pegang badal besi ini. Ia juga kebal darurat macam RB juga,” terang Zaki.

“Harga berapa?” tanya Mat Amin.

“Nanti aku tanya Ali yang kebetulan ada di Pontian hari ini,” kata Zaki.

Zaki terus hubungi Ali yang berada di Pontian.

“Badal besi hari tu masih ada?” tanya Zaki.

“Masih ada. Ada orang nak beli ke?” tanya Ali kembali.

“Kawan aku Mat Amin baru balik dari Labuan. Dia kata bosnya nak beli badal besi. Tapi had harga yang dia sanggup bayar ialah RM3 juta sahaja,”kata Zaki.

“Kalau harga RM3 juta, kita masih ada RM2 juta kerana tuannya nak RM1 juta sahaja,”kata Ali.
“Bila dapat urus?” soal Zaki.

“Nanti aku pergi rumah tuannya petang ini tanya bila dapat urus jual beli,” kata Ali.

Zaki berada di kampung

Esoknya Ali hubungi Zaki yang masih berada di kampung. Kebetulan pagi itu Zaki sedang minum dengan Mat Amin.

“Tuan badal besi kata bila-bila masa dia boleh pergi ke Kuala Lumpur,” kata Ali.

”Kau cakap sendiri dengan Mat Amin. Dia ada dengan aku ni,” kata Zaki.


“Assalamualaikum Mat Amin. Saya Ali kawan Zabidi ada di Pontian sekarang. Petang semalam saya sudah pergi ke rumah tuan badal besi. Dia sanggup datang ke Kuala Lumpur bila-bila masa,” kata Ali.

“Mualaikumusalam. Nanti saya tanya bos saya bila dia sanggup turun ke Kuala Lumpur,” jawab Mat Amin.

Mat Amin terus hubungi bosnya, Agu yang berada di Labuan.

“Jumaat depan saya ada di Kuala Lumpur. Nanti kita pergi uji badal besi,” kata Agu.

“Okay bos,” jawab Mat Amin.

Hari Jumaat yang ditunggu pun tiba. Mat Amin menumpang tidur di bilik Zaki di Kepong. Malam tadi Mat Amin sampai di Kuala Lumpur dengan Zaki bersama kereta Persona Mat Amin.

Manakala Ali datang dengan tuan badal besi dari Pontian menaikki bas ekspres Pontian-Kuala Lumpur mslam tadi. Mereka tiba di Hentian Bandar Tasik Selatan jam 6 pagi tadi.

Dari situ Ali dan Wak Din terus naik komuter ke Kepong Sentral. Zaki menunggu ketibaan Ali dan Wak Din dengan Mat Amin di situ.

“Apa khabar Wak Din. Sihat?” soal Zaki kepada Wak Din.

“Waras (baik),” jawab Wak Din dalam bahasa Jawa.

“Mana pembelinya?” soal Ali kepada Zaki sewaktu mereka berada dalam kereta Persona Mat Amin.

“Petang nanti dia sampai di LCCT,” kata Mat Amin.

“Penerbangan pukul berapa?” tanya Ali.

“Dia kata penerbangannya belum muktamad lagi kerana penumpang penuh. Maklumlah dekat hari raya haji ramai orang balik kampung,” kata Mat Amin.

“Kita tunggu Agu datang,” sampuk Zaki.

Oleh kerana mereka bertiga tiada wang untuk membayar hotel Wak Din, maka Wak Din turut tidur di bilik Zaki. Bilik Zaki muat empat orang tetapi mereka tidak selesa kerana bilik itu tidak besar mana.

`Kenapa janji tak tepat’

Pagi esoknya Wak Din tanya Mat Amin, bila bosnya mahu sampai.

“Malam tadi dia sampai di LCCT dan terus terbang ke Pulau Pinang. Dia pergi tengok delima merah,” kata Mat Amin.

“Kenapa janji tak tepat? Kata nak urus badal besi dulu, kenapa dia pergi ke Pulau Pinang pulak?” marah Zaki.

“Wak Din tak boleh lama di Kuala Lumpur. Kalau tahu macam ini, Wak Din tak datang dari kampung semalam,” sampuk Ali.

“Nanti aku hubungi Agu,” ujar Mat Amin yang malu ditempelak Zaki dan Ali.

“Agu matikan telefon tangannya,” sambung Mat Amin lagi.

“Aku beri tempoh sampai jam 5 petang ini. Kalau Agu tak jawab panggilan, kita batalkan sahaja. Aku kena hantar semula Wak Din ke kampung.

Wak Din tak biasa naik bas seorang,” kata Ali.

Tepat jam 5 petang Mat Amin masih tidak dapat berhubung dengan Agu. Maka Ali pun terus balik ke Pontian dengan Wak Din. Wak Din pulang hampa kerana urusan tidak menjadi.

Mat Amin yang malu terus balik ke Kuantan petang itu juga meninggalkan Zaki sendirian di biliknya.

“Susah betul nak padankan pembeli dengan pemilik barang,” kata Zaki.

1 comment: