Monday, April 24, 2017

JELMAKAN WANG DALAM RUMAH



“Kita nak ke Melaka buat apa Ali?” soal Zaki kepada Ali ketika mereka naik bas di terminal Bandar Tasik Selatan ke Melaka.

“Nak ambil duit dalam rumah Pak Long,” jawab Ali.

“Pak Long mana?” soal Zaki.

“Pak Long yang datang ke rumah Ustaz Mukhriz minggu lepas,” jawab Ali.

Dua jam setengah kemudian, Ali dan Zaki tiba di Melaka Sentral. Kebetulan hari itu hari Sabtu. Dapatlah Zaki mengikut Ali ke Melaka. Hari lain susah Zaki mahu mengikut Ali sejak Zaki bekerja semula.

Setengah jam kemudian Pak Long tiba di Melaka Sentral menjemput Ali dan Zaki. Pak Long datang dengan bininya, Mak Long yang berusia 40an.

Empat puluh minit kemudian mereka tiba di rumah Pak Long di sebuah kampung di Masjid Tanah. Pak Long yang berusia 50an adalah seorang bomoh yang mengubati pelbagai penyakit tradisional.

Selepas menjamah pisang goreng dan kopi O, Ali tanya Pak Long, “Duit tu ada di mana Pak Long?”

“Ada dalam bilik tu. Penuh dengan wang. Kena cari guru yang pandai ambil duit tu,” kata Pak Long.

“Anggaran banyak mana Pak Long?” soal Zaki yang ghairah mendengar cerita Pak Long.

Guru

“Rasanya sampai RM100 juta,” kata Pak Long.

“Ali kata ada guru yang boleh ambil wang dalam rumah ini,” sambung Pak Long.

“Memang ada. Syed Alwi. Dia guru Datuk Sahar,” kata Ali.

“Bila nak ambil duit tu?” tanya Ali kepada Pak Long.

“Terpulang kepada gurulah,” kata Pak Long.

“Ni nak masuk Ramadhan dah. Bulan Ramadhan Syed Alwi tak buat. Lepas Ramadhanlah,” kata Ali.

“Kita nak pakai duit sebelum hari raya,” jawab Pak Long.

“Kena sabar Pak Long. Ini bukan kerja mudah,” kata Ali.

Zaki tidak banyak menyampuk perbualan di antara Pak Long dengan Ali. Malam itu mereka tidur di rumah Pak Long. Dua orang anak dara Pak Long yang berusia 20 tahun dan 18 tahun terasa segan menonton televisyen di hadapan tetamu ayah mereka.


Pagi Ahad itu Ali kejutkan Pak Long yang turut tidur di hadapan bilik tamu itu.

Berita baik

“Ada berita baik Pak Long. Malam ini Syed Ali nak datang. Dia suruh kita buat persiapan cari kain putih dan al Quran,” kata Ali.

“Dia minta RM300 sahaja kos untuk dia datang ke mari dari Johor,” kata Ali.

“Kalau begitu kita kumpul RM100 seorang,” kata Pak Long.

“Saya tak ada duit Pak Long. Nanti saya tanya Zaki bila dia selesai mandi nanti,” kata Ali.

Sepuluh minit kemudian Zaki keluar dari bilik air.

“Kami dah setuju malam ini Syed Alwi datang ambil duit ini,” kata Pak Long.

“Jadi setiap orang kena keluarkan duit RM100,” kata Pak Long lagi.

“ You carilah dulu RM200 untuk kita,” kata Ali kepada Zaki.

“Nanti saya call funder saya, “ kata Zaki. Zaki terus call kawan baiknya, bakal isteri keduanya, Sarimah.

“Ayang tolong bank in abang RM200 boleh? Abang nak segera,” kata Zaki.

Balu

“Abang ni selalu nak duit mengejut. Nantilah jam 1 ayang bank in,” kata Sarimah yang tidak cakap banyak.

Sarimah dah tahu biasanya Zaki akan callnya bila tiada wang. Dekat RM3,000 duit balu itu dipinjam oleh Zaki. Tapi projeknya asyik tak jadi.

“Nampaknya dari segi duit tak ada masalah,” kata Zaki kepada Ali dan Pak Long.

Tengah hari itu mereka keluar ke pekan Masjid Tanah mencari persiapan untuk malam ini memindahkan wang yang ada dalam bilik itu menjadi wang kenyataan. Wang itu menurut Pak Long penuh satu bilik tetapi tidak nampak oleh mata kasar manusia.

Tepat jam 9 malam Syed Alwi tiba dengan pengiringnya ke rumah Pak Long. Oleh kerana masih ramai orang datang berubat dengan Pak Long, maka mereka menunggu orang pulang terlebih dahulu.

Tepat jam 12 malam apabila anak-anak Pak Long tidur, maka Syed Alwi pun memulakan upacara menjadikan wang yang tak nampak itu menjadi wang yang nyata.

Syed Alwi memang hebat. Duit yang penuh bilik itu sudah nyata. Terkejut Pak Long, Zaki dan Ali yang melihat timbunan wang RM.

Alam ghaib

Selesai upacara hampir jam 2 pagi, Syed Alwi pun berkata,” Oleh kerana duit ini duit alam ghaib, maka separuh dari duit ini hendaklah diserah kepada saya. Manakala selebihnya dibahagilah di antara kamu bertiga”.

Perasaan tamak timbul di dalam hati Pak Long.

“Ini duit saya, Macam mana tuan guru dapat separuh?” tanya Pak Long.

“Ali tak beritahu kepada Pak Long pembahagiannya?’ tanya Syed Alwi kembali.

“Saya lupa nak beritahu Pak Long,” kata Ali.

“Tak aci macam tu,” kata Pak Long.

Serentak dengan itu sekelip mata wang yang sudah nyata di hadapan mata itu ghaib gara-gara ketamakan Pak Long. Syed Alwi menepuk dahi.

Zaki dan Ali menangis tak berlagu melihat ketamakan Pak Long. Ali kata kalau dia datang dengan kereta, pada malam yang sama dia balik ke Kuala Lumpur.

Sebaliknya malam itu Ali dan Zaki masih tidur di rumah Pak Long. Pagi esoknya ketika Pak Long menghantar mereka ke Melaka Sentral, mereka tidak bercakap dalam perjalanan gara-gara marah kepada ketamakan Pak Long.

No comments:

Post a Comment