Saturday, April 29, 2017

KHADAM RB TAKUT DATUK



Kali pertama Zaki terlibat dalam jualan barang barang mistik kerana dorongan Haji Mohamad Ali seorang rakan baiknya. Dahulu Haji Mat duduk sekali dengannya di bilik sewanya di Kepong sebelum Ali duduk di situ.

Apabila Haji Mat dicari Datuk Hasbullah kerana menipunya sebanyak RM90,000 , Haji Mat berpesan kepada Zaki untuk menghubungi orang itu dan orang ini jika mahu jadi broker barang-barang mistik.

“Awak hubungi Datin Noriah, Adam. Mereka ini semua ada buyer barang mistik,” kata Haji Mat kepada Zaki sebelum dia berpindah dari situ.

“Esok awak ikut saya ke Jeram. Ada pembeli dari Brunei mahu beli rantai babi (RB),” kata Haji Mat lagi.

Esoknya Zaki ikut Haji Mat ke Jeram, Kuala Selangor dengan Adam dari Kuala Terengganu. Adam orang Kadazan Sabah tetapi memeluk agama Islam setelah berkahwin dengan orang Kuala Terengganu.

Walaupun Adam seorang mualaf tetapi dia kuat solat. Cukup waktu, dia solat. Ini yang menyebabkan Zaki segan pada Adam kerana dia dilahirkan Muslim asal tidak cukup solat lima waktu sehari.

Dalam perjalanan, Adam cerita pengalamannya menjual rantai babi di Sabah.

Harga RM5 juta

“Gua banyak hairan kenapa rantai babi banyak mahal orang beli sampai RM5 juta, “ kata Apek kepada Adam.

“Di kandang babi saya banyak rantai babi boleh angkat,” kata apek itu lagi.

“Bukan rantai itu yang kita mahu beli,” kata Adam ketawa.

“Ini lain rantai, itu lain rantai,” kata Adam.

“Rantai ini kalau pakai banyak kebal, orang tembak pun tak mati,” kata Adam. Apek itu ingat rantai yang dipakai pada babinya yang dipelihara di belakang rumah yang mahu dibeli Adam.

Satu jam kemudian mereka bertiga tiba di Kampung Bukit Kuching di rumah bomoh Wak Kadir.

“Sudah sampai pembeli?” tanya Wak Kadir.

“Dalam perjalanan,”kata Haji Mat.

“Ini Adam dan Zaki, kawan saya,” Haji Mat memperkenalkan Adam dan Zaki kepada Wak Kadir.

“Sudah ramai orang mahu rantai babi ini tapi saya tak nak jual,” kata Wak Kadir.


“Tapi oleh kerana Haji Mat kata harga sampai RM5 juta, maka hari ini saya sanggup jual,” sambung Wak Kadir.

“Harga Wak RM3 juta, bahagian broker RM2 juta,” kata Haji Mat.

“Ya tapi kena akad dengan harga RM5 juta pasal itu harga yang dibeli,” jelas Wak Kadir.

Setengah jam kemudian tiba Hilux Datuk Idris dari Seremban.

`Wakil pembeli’

“Datuk Idris wakil pembeli dari Istana Brunei,” kata Haji Mat kepada Wak Kadir.

“Saya sudah pusing seluruh Malaysia sampai ke kampung Adam di Terengganu,” kata Datuk Idris.

“Tapi sampai sekarang saya belum jempul barang kebal umum yang dikehendaki Istana Brunei,” sambung Datuk Idris yang berusia 40an.

Datuk Idris sebagai tester buyer bukan calang-calang orang. Dia mestilah orang yang berisi untuk uji barang mistik.

Adam pun boleh nampak makhluk halus. Itulah kelebihan Adam yang tak tinggal solat. Bukan sahaja solat wajib lima waktu yang dia buat, malah solat sunat tahajud setiap malam dia buat. Di waktu siang pula dia amalkan solat sunat dhuha.

Datuk Idris pun menerangkan prosedur urusan belian rantai babi itu. Kataya, kalau lepas uji barang itu kebal, maka Wak Kadir akan menandatangani surat perjanjian dengan harga yang dipersetujui.

Masa itu Datuk Idris akan menelefon akauntannya di Kuala Lumpur untuk bawa duit ke rumah Wak Kadir dengan van keselamatan dalam masa dua jam. Rantai babi akan diambil selepas duitnya tiba di rumah Wak Kadir.

Wak Kadir tersenyum kerana dia yakin barangnya itu memang kebal.

`Potong rambut saya’

“Bila Datuk sedia, Datuk potong rambut saya dengan pencukur ini,” kata Wak Kadir yang duduk bersila di hadapan Datuk Idris.

Wak Kadir memegang rantai babi yang bersalut dengan kain hitam itu sambil Datuk Idris bersedia memotong rambut Wak Kadir.

Kira-kira 10 minit berlalu Datuk Idris kata tak ada rasa apa. Biasanya kalau barang itu kebal umum, tangan Datuk Idris akan terasa kebasnya.

“Tak ada apa pun,” kata Datuk Idris.

“Tunggu lima minit lagi,” kata Wak Kadir.

Tepat lima minit, Datuk Idris tetap kata tak ada apa-apa. Wak Kadir yang tak sabar terus memotong rambut Datuk Idris dan ternyata rambut itu putus. Kalau tak putus, sah barang itu kebal umum.

`Ilmunya tinggi’

“Pelik juga hari ini boleh putus,” kata Wak Kadir yang malu pada Datuk Idris. Tadi masa Datuk Idris sampai di rumahnya, dia banyak kali cakap besar kata barangnya dah banyak kali uji, tak putus rambut.

Datuk Idris pun beredar dari rumah Wak Kadir dengan pemandu Hiluxnya. Pada masa yang sama Adam, Haji Mat dan Zaki meninggalkan rumah Wak Kadir.

“Apabila Datuk Idris masuk ke rumah Wak Kadir, khadam rantai babi itu lari ke luar rumah,” kata Adam yang nampak dengan makhluk halus dalam perjalanan balik ke Kepong.

“Sebab itu Datuk Idris itu tenang saja kerana dia tahu khadam dah tak ada,” sambung Adam.

“Kenapa Wak Kadir tak panggil khadamnya masuk semula?” tanya Zaki.

“Wak Kadir tak tahu. Datuk Idris tu ilmunya tinggi. Sebab itu bila khadam RB itu nampak Datuk Idris, khadam terus lari,” cerita Adam lagi.

“Susah nak berjaya macam ini,” kata Haji Mat.

“Kalau Haji tak percaya, lepas Datuk Idris balik, kita uji semula RB itu , mesti rambut tak putus pasal khadamnya dah ada semula,” kata Adam lagi.

No comments:

Post a Comment