Saturday, April 29, 2017

MAHDZIR MAHU JUMPA JAMIL MENGENAI PENDAFTARAN TAHFIZ SWASTA



KUALA LUMPUR 29 April - Kementerian Pendidikan akan mengadakan pertemuan dengan Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama Islam) bagi membincangkan mengenai pendaftaran sekolah-sekolah agama tahfiz swatsa dan persendirian di seluruh negara.


Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, pertemuannya dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom itu dijangka diadakan awal bulan depan.

Katanya, langkah itu perlu diambil selepas beliau menyedari terdapat kejadian sama seperti kes yang berlaku terhadap Allahyarham Mohamad Thaqif Amin Mohd. Gaddafi di sebuah sekolah tahfiz di Klang, Selangor baru-baru ini.


“Sebenarnya sekolah tahfiz swasta dan persendirian ini boleh didaftarkan di bawah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), jadi, lepas 1 Mei ini saya akan bertemu dengan Jamil Khir untuk membincangkan mengenai pendaftaran sekolah-sekolah ini.

“Langkah ini adalah lebih baik sebab apabila berlaku kejadian buruk seperti ini, kementerian atau mana-mana pihak sukar hendak mengambil tindakan sebab kita pun tidak tahu apa-apa,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2017 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pengarah Pelajaran yang juga Pengerusi Majlis Buku Kebangsaan Malaysia, Tan Sri Khair Mohamad Yusof dan Pengerusi Dewan Industri Buku Malaysia (MBIC), Ishak Hamzah.


No comments:

Post a Comment