Sunday, April 23, 2017

MINYAK DAGU



Haji Hashim adalah seorang penguji. Dia sedang mencari minyak dagu untuk buat ibu duit. Zaki hubungi Ali supaya mencari minyak dagu.
“Susah dapat minyak dagu,” kata Ali.

“Kalau ada minyak dagu, senang kita buat ibu duit,” kata Zaki.


“Dahulu aku pernah dapat minyak dagu, tapi tak ada guru pula yang pandai,” beritahu Ali.

Ali pun bercerita kepada Zaki bahawa tahun lepas dia naik kereta tiga orang dari Kota Tinggi ke Muar membawa minyak dagu. Sepanjang perjalanan tuan minyak dagu pegang minyak dagu sementara dia diusik penunggu minyak dagu. Kadang kala dia terasa tubuhnya dicuit oleh penunggu minyak dagu.

Yang lucunya si penunggu minyak dagu nak minum stout (arak). Terpaksa Ali dan kawannya berhenti di kedai Cina beli stout. Ali yang tak pernah beli stout terpaksa tebalkan muka beli sebotol stout untuk penunggu minyak dagu itu.

Stout dalam botol itu dibuka. Ali nampak dengan matanya 10 minit kemudian stout itu habis diminum. Naik seram kepala Ali. Begitu juga tuan punya minyak dagu, Wak Senin dan pemandu kereta, Hisham.

Penunggu minyak dagu mahu makan burung serindit

Sebelum sampai di Muar, penunggu minyak dagu mahu makan burung serindit yang orang India buat tilik nasib. Habis dipusingnya di pekan Batu Pahat cari burung itu. Burung itu dibeli dari tukang tilik nasib India itu.

“Dari cari orang tilik nasib satu hari belum tentu dapat berapa ringgit, lebih baik aku jual burung ini,” kata Maniam kepada Ali yang menjualnya dengan harga RM100.

Sekejap sahaja burung serindit itu dimakan penunggu minyak dagu itu. Sampai di rumah guru di Muar, guru pula yang takut proses minyak dagu itu. Akhirnya mereka pulang ke Kota Tinggi dengan penuh kecewa.

Minyak dagu berasal dari tulang dagu wanita yang mati dibunuh ketika sedang mengandung anak sulung. Tulang dagu wanita itu dilayur dengan bacaan mentera. Sesiapa yang terkena minyak dagu ini akan tunduk kepada si pemakai minyak tersebut.


Ia lebih berkesan dari minyak cenuai. Minyak cenuai biasanya diproses oleh orang Asli. Tetapi minyak dagu boleh dibuat ibu duit, kata Haji Hashim. Bila ibu duit menggunakan wang RM100 digunakan untuk beli barang di kedai, duit itu akan kembali semula kepada si pengguna ibu duit itu.

Contohnya kita beli rokok RM10 dengan menggunakan ibu duit itu, kita dapat semula duit RM100 itu. Ini bermakna kita sudah untung RM90 dalam satu deal. Katakan satu hari kita buat 10 urusan di 10 kedai yang berlainan, maknanya kita sudah untung RM900 dalam satu hari. Itulah kegunaan ibu duit.

Menurut Haji Hashim ada guru yang pandai buat ibu duit ini di Seremban. Tetapi kena cari minyak dagu yang ada kuasa.

Pergi Kedah

“Ali nak pergi ke Kedah ambil minyak dagu,” beritahu Zaki kepada Haji Hashim.

“Biar Ali uji dulu sejauh mana kuasanya. Bila betul ada kuasa, kita akan pergi ke sana bawa guru,” kata Haji Hashim.

Maka setiap orang dipungut RM100 dari ahli jemaah seramai 10 orang untuk bayar kos guru. Minyak yang dicari Ali di Kedah ternyata hebat.

Maka guru di Seremban dihubungi untuk dibawanya ke Kedah.

Tunggu punya tunggu, Haji Hashim yang berurusan dengan guru tersebut kata tangguh dulu kerana guru demam.

“Baru-baru ini guru halau hantu raya. Maka tubuh guru lemah bila hantu raya berjaya diusir. Jadi kita kena tunggu guru pulih sepenuhnya bulan depan,” beritahu Haji Hashim kepada Zaki dan Ali.

Bulan depannya tangguh lagi. Alasan Haji Hashim ialah guru sibuk dengan pilihanraya umum bulan Mei lalu. Ramai calon gunakan perkhidmatan guru sewaktu berkempen pilihan raya.

“Tangguh lagi?”

Bulan Jun, Zaki hubungi Haji Hashim lagi. Kali ini alasan Haji Hashim ialah guru pergi ke Makkah buat umrah.

Bulan Julai datang, Haji Hashim kata guru sudah bersedia untuk buat ibu duit dengan minyak dagu itu. Guru pun berangkat ke Kedah tetapi semua kecewa apabila guru uji minyak dagu itu, kuasa sudah tidak ada.

“Kuasa nak ada macam mana. Dah lima bulan minyak dagu tersadai menunggu guru,” kata Zaki.

“Buang masa kita menunggu guru,” jawab Ali.

“Kalau Haji Hashim telefon aku nanti, aku belasah dia,” kata Zaki lagi.

“Peluang dah ada buat ibu duit, tapi guru yang lengah-lengahkannya. Entah entah guru itu temberang,” kata Ali.

No comments:

Post a Comment