Wednesday, April 5, 2017

SIAPAKAH CALON PARLIMEN KEMAMAN?

KEMAMAN: Sudah tiga penggal Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek menjadi ahli parlimen Kemaman. Bagaimana nasib beliau pada PRU akan datang? Adakah beliau kekal di parlimen Kemaman atau berpindah ke DUN Kemasek?

Ada yang berpendapat kononnya hubungan Shabery dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak amat rapat. Maka beliau akan dikekalkan di parlimen Kemaman buat penggal keempat. Manakala ada yang berpendapat kononnya Shabery akan digugurkan kerana beliau gagal membangunkan kemaman.

Apa yang kemaman ada sepanjang beliau jadi ahli parlimen? Balai polis masih balai polis lama. Hospital masih hospital lama. Terminal bas ekspress pun tak ada. IKBN yang ada di Kemasik bukan di zaman Shabery jadi menteri belia dan sukan tetapi zaman Datuk Seri Azalina Othman.Sebab itu rakyat Kemaman beranggapan bahawa cukuplah Shabery jadi ahli parlimen.

Benarkah Shabery rapat dengan PM? Kenapa ketika ketua bahagian, Datuk Seri Ahmad Said menghentam PM, Shabery tidak mempertahankan PM? Sebaliknya Shabery main politik "play safe" kerana mengenang budi Ahmad Said yang memberinya jawatan dalam Umno bahagian.

Selepas Parti Semangat 46 dibubarkan pada tahun 1996, Shabery menyertai Umno dan menjadi ahli Umno di cawangan Gong Chengal, kemasik. Pada tahun 1998 beliau menawarkan diri sebagai calon ketua pemuda bahagian apabila Ahmad Said habis umur pemuda. Beliau menentang calon yang direstui oleh ketua bahagian ketika itu, Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad iaitu ahli parlimen Kemaman, Dr Ramli Taib.

Selaku ahli jawatankuasa pemuda umno bahagian, saya secara terbuka menyokong Shabery sedangkan semua ahli jawatankuasa lain menyokong Dr ramli taib. saya yang bekerja di Kuala terengganu ketika itu setiap petang selepas habis waktu pejabat balik ke kemaman berkempen untuk Shabery bersama Halim Janggut dan lain lain.

Ketika itu saya balik bersama wartawan Utusan malaysia, Ayob Mamat yang berkempen untuk Dr ramli. Selepas habis kempen jam 12 malam, kami berdua balik ke Kuala terengganu. Shabery kalah tipis dalam pertandingan ketua pemuda.

selepas kalah Shabery balik ke Kuala Lumpur. Pada tahun 2000, Ahmad Said selaku naib ketua bahagian mencabar pemangku ketua bahagian, Datuk Abu Bakar Ali bagi jawatan ketua bahagian. Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad badawi selaku Pengerusi badan perhubungan Umno terengganu menghantar Haji Zubir Embong memujuk Ahmad Said menarik diri tetapi Ahmad Said enggan menarik diri.

Maka pertandingan berakit team A (team Abu Bakar Ali) dengan team B (team Ahmad Said) berlangsung. ketika inilah Rahim Husein mencadangkan nama Shabery kepada Ahmad said untuk bertanding jawatan timbalan ketua bahagian menentang bekas ketua pemuda, Nazri Salleh manakala Rahim bertanding naib ketua bahagian lawan Haji Shahbudin Maidin.

Team B sapu bersih termasuk 19 ahli jawatankuasa bahagian kecuali Tuan Kecil Tuan tengah dari team A yang menang jawatan ahli jawatankuasa bahagian.

Tiga kerusi DUN yang tewas pada PRU 1999 ditawan semula pada PRU 2004. Ahmad Said(Kijal), Datuk Mohamad Awang Tera (Chukai) dan Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid (Air Putih) manakala Abu Bakar Ali berjaya mempertahankan kerusi DUN kemasik. Shabery berjaya merampas kembali kerusi parlimen Kemaman daripada PKR.

Shabery dari ahli parlimen biasa pada tahun 2004 menjadi setiausaha parlimen di kementerian lua pada tahun 2006. Beliau dilantik Pak Lah sebagai menteri penerangan  terus tanpa menjadi timbalan menteri. pada tahun 2008. Di zaman Najib, beliau dipindahkan ke kementerian belia dan sukan seterusnya ke kementerian komunikasi dan multi media (nama baru kementerian penerangan) dan kini menjadi menteri pertanian dan industri asas tani.

Shabery pernah berkata dia mahu beri laluan kepada orang muda untuk bertanding kerusi parlimen. Cukuplah Shabery jadi ahli parlimen selama tiga penggal. jika Shabery tidak bertanding siapakah calon yang layak bertanding kerusi tersebut?

ADUN Air Putih, Wan Hakim Wan Mokhtar yang kecewa tak dapat jadi Exco dikatakan mahu bertanding di parlimen pula. Masa depannya kelam jika beliau kekal di DUN Air Putih kerana pihak istana tidak berkenan kepadanya. Maka beliau berharap Najib memilihnya sebagai calon parlimen.

Selain daripada Wan hakim, nama bekas naib ketua bahagian (2000-2008), Datuk Rahim Husin disebut juga bertanding di kerusi parlimen. Beliau seorang ahli perniagaan yang berjaya di Kuala Lumpur walaupun bagi saya beliau lebih sesuai diberi berpeluang merampas kerusi DUN Chukai daripada tangan PAS.



Dato Rahim adalah penaung grup whatsapp Kemamang Kite  (KK) yang telah menggerunkan ramai ahli politik kemaman. Sejak ditubuhkan pada bulan September 2016, KK telah banyak menganjurkan program yang menyebabkan ramai ahli politik yang selama ini senyap  turun padang menganjurkan program juga.

Sehingga ini dua nama ini yang popular disebut bertanding kerusi parlimen. terpulang kepada pucuk pimpinan untuk memilih siapa untuk mempertahankan kerusi parlimen kemaman. Saya kira Datuk Rahim yang ada visi untuk membangunkan kemaman lebih layak diberi peluang sebagai calon BN bagi kerusi parlimen Kemaman.

No comments:

Post a Comment