Monday, October 3, 2016

PAS JANGAN TERPEDAYA DENGAN HELAH BERSATU



CHUKAI: Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, PAS tidak harus terpedaya dengan helah Parti Pribumi Bersatu (Bersatu) yang ingin menjadikan parti itu sebagai tangga untuk mencapai cita-citanya.

Katanya, PAS perlu mempertahankan prinsipnya supaya parti itu tidak dijadikan alat oleh parti baharu di bawah pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang pernah mengecam PAS suatu ketika dahulu.

"Malah, Penasihat Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohammad pernah mengecam PAS dengan menuduhnya parti dadah dan sebagainya.

"Dari segi calon dan jenteranya, Bersatu berharap kepada pada PAS untuk memenangi dan menjadikannya sebagai batu loncatan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penyampaian Elaun Sara Hidup Nelayan di dewan Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Kemasek, di sini.

Ahmad Shabery yakin PAS tidak semudah itu terpengaruh dengan parti baharu yang tidak mempunyai pengikut yang ramai.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Muhyiddin dalam ceramahnya di Kemasek, malam kelmarin bahawa parti itu akan berbincang dengan PAS mengenai pembahagian kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen pada pilihan raya umum akan datang.

No comments:

Post a Comment