Tuesday, October 18, 2016

BN TAK BOLEH SAMBIL LEWA TERHADAP PARTI WARISAN

KOTA KINABALU, 18 Okt (Bernama) -- Barisan Nasional (BN) Sabah tidak boleh bersikap sambil lewa terhadap cabaran politik semasa yang dihadapi masa ini termasuk kemunculan parti baharu, menurut seorang ahli akademik.


Pensyarah Kanan Fakulti Kemanusiaan, Seni dan Warisan, Universiti Malaysia Sabah (UMS) Dr Zaini Othman berkata walaupun BN mempunyai rekod pencapaian yang baik sejak 1970-an dalam membangunkan Sabah namun tidak boleh terlalu teruja dengan pencapaian berkenaan.

"Hal ini (rekod pencapaian) suatu yang kita tidak dapat nafikan, namun dalam keterujaan tersebut, BN tidak boleh bersifat sambil lewa, BN perlu lebih konstruktif," katanya kepada Bernama.

Dr Zaini berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pengumuman nama dan logo baharu Parti Pembangunan Warisan Sabah yang ditubuhkan sejak 2013, yang kini dikenali sebagai Warisan, oleh bekas Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mohd Shafie Apdal semalam.

Menjelaskan lebih lanjut makna lebih konstruktif itu, katanya BN perlu melihat semula rekod pencapaian itu untuk menilai sama ada masih wujud kekurangan yang perlukan pembaikan terutama dari segi pembangunan dalam erti kata sebenar.

Katanya meskipun impak kehadiran Warisan terlalu awal untuk dinilai namun keupayaan parti itu untuk menarik pemimpin dan wakil rakyat muda kaum Bumiputera bukan Islam dan kaum bukan Bumiputera perlu diperhatikan.

Zaini berpendapat parti tempatan Sabah itu sudah tentu akan menggunakan hak rakyat Sabah sebagai sandaran untuk meraih undi meskipun slogan itu bukan perkara asing bagi parti-parti politik setempat.

Katanya beberapa tahun kebelakangan ini, kerajaan BN di Sabah telah bersungguh-sungguh memperjuangkan hak rakyat Sabah dan kelihatannya ingin ditiru parti tempatan lain di negeri ini.

"Bagaimanapun pada kali ini (pilihan raya umum ke-14 akan datang) dapat dilihat bahawa parti-parti pembangkang tempatan di negeri ini akan cuba menggunakan slogan sama tetapi dengan sedikit perbezaan... dan BN tidak boleh bersikap sambil lewa dengan perkembangan ini," katanya.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment