Monday, October 24, 2016

AZMIN SUDAH HABIS MODAL

KUALA LUMPUR, 24 Okt (Bernama) -- Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor Tan Sri Noh Omar menyifatkan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali kehabisan modal apabila membuat tuduhan mengaitkan UMNO dan Barisan Nasional (BN) dengan masalah pencemaran Sungai Semenyih.

Beliau yang juga Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata menunding jari kepada pihak lain telah menjadi budaya pembangkang, sejak dahulu.


"Saya hendak beritahu Menteri Besar, kita nak menang pilihan raya bukan dengan cara kotor dan menyusahkan rakyat," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini hari ini.

Mohamed Azmin dilaporkan berkata terdapat bukti mengenai pencemaran air di Sungai Semenyih yang menunjukkan "kecenderungan unsur sabotaj" oleh BN dan UMNO untuk melemahkan kerajaan negeri memandangkan pilihan raya sudah hampir.

Noh berkata kerajaan Selangor sebenarnya tidak serius dalam menangani kes pencemaran air di negeri itu.

"Bila ada pencemaran air yang disebabkan oleh kilang, sepatutnya daripada dulu lagi kerajaan negeri turun padang buat semakan kerana terdapat banyak kilang di kawasan berdekat sungai berkenaan," katanya.

Noh turut mencabar Mohamed Azmin untuk membuat laporan polis berhubung dakwaan wujudnya unsur sabotaj dalam isu pencemaran Sungai Semenyih.

Dalam pada itu, Mohamed Azmin berkata laporan polis dibuat oleh Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) semalam bagi menyiasat pencemaran sungai berkenaan.

Awal bulan ini, loji rawatan air Sungai Semenyih ditutup berikutan pencemaran di sungai itu yang mengakibatkan gangguan air di beberapa kawasan seperti daerah Hulu Langat, Kuala Langat, Sepang dan Petaling.

Semalam, beberapa kawasan di daerah sama mengalami gangguan bekalan air sementara susulan penutupan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih.

Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) dalam kenyataan berkata LRA itu ditutup pada 7.30 pagi akibat pencemaran bau air sungai disyaki berpunca dari kawasan perindustrian Nilai, Negeri Sembilan.

Sementara itu, Ketua Pemuda MIC C.Sivarraajh berkata;" Adalah menyedihkan bahawa selepas 10 tahun berkuasa kerajaan Pakatan di Selangor masih menyalahkan kerajaan BN atas kelemahan mereka.".

Dalam satu kenyataan, beliau berkata: "Rakyat telah sedar daripada tidur dan memahami akan taktik licik kerajaan Pakatan Harapan dan tidak akan tertipu lagi.

"Air adalah satu bidang di bawah kawalan kerajaan negeri, begitu juga dengan Islam dan lampu jalan, namun sedihnya mereka tidak mampu melaksanakan tugas dengan cekap mengenai isu-isu kecil berkenaan."

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment