Thursday, October 13, 2016

1.3 JUTA RAKYAT AKAN ALAMI KATARAK DALAM MASA 10 TAHUN AKAN DATANG

KOTA BHARU, 13 Okt (Bernama) -- Kementerian Kesihatan menjangkakan kira-kira 1.3 juta penduduk Malaysia yang berumur 50 tahun ke atas akan mengalami penyakit katarak dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang.

Timbalan Menterinya Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya berkata penyakit katarak yang dialami boleh membawa kepada masalah kebutaan jika tidak mendapat rawatan lebih awal.


"Tinjauan Mata Kebangsaan yang dilaksanakan pada 2014 mendapati penyakit katarak menjadi penyebab utama kepada 113,000 orang yang mengalami masalah kebutaan iaitu sebanyak 58 peratus diikuti kencing manis (10 peratus), glaucoma (tujuh peratus) dan selebihnya faktor-faktor lain.

"Berdasarkan gaya hidup masyarakat Malaysia ketika ini, kita jangkakan jumlah pesakit katarak akan meningkat sehingga 1.3 juta orang dalam tempoh 10 tahun akan datang," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Penglihatan Sedunia 2016 Peringkat Kebangsaan di sini, Khamis.

Turut hadir Pengarah Kesihatan Negeri Kelantan Datuk Ahmad Razin Ahmad Mahir dan Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Kelantan Datuk Makhtar Mustapha.

Dr Hilmi berkata kajian sama juga mendapati 413,000 penduduk Malaysia berumur 50 tahun dan ke atas mengalami masalah penglihatan.

Beliau berkata pembedahan katarak boleh dilakukan pada peringkat awal di hospital yang disediakan kerajaan tanpa perlu menunggu tempoh katarak matang bagi mengurangkan risiko kebutaan.

Dr Hilmi berkata KKM menyediakan perkhidmatan rawatan katarak di 40 buah hospital pakar di seluruh negara dengan anggaran pembedahan sehingga 50,000 kes katarak setahun.

KKM juga melaksanakan Program Klinik Katarak 1Malaysia (KK1M) untuk mengatasi bebanan kes katarak secara sistematik dengan mewujudkan Zon Bebas Katarak di seluruh negara selain menambah bilangan pelajar sarjana kursus oftalmologi, katanya.

Dalam perkembangan lain, Dr Hilmi berkata pihak kementerian telah membuat persiapan rapi termasuk dari segi bekalan ubat sebagai persediaan menghadapi banjir pada musim tengkujuh tahun ini.

"Jabatan Kesihatan setiap negeri yang berisiko banjir telah membahagikan bidang tugas masing-masing selain persiapan bekalan ubat. Kita juga akan bertindak membekukan cuti kakitangan bergantung kepada keperluan semasa banjir tahun ini," katanya.

Pada majlis itu, beliau turut menyerahkan cermin mata kepada lebih 20 pelajar sekolah yang mengalami masalah penglihatan.

-- BERNAMA







No comments:

Post a Comment