Sunday, October 9, 2016

UMNO PAGOH MAHU ANAK TEMPATAN JADI CALON

TANGKAK, 9 OKT (Bernama) -- UMNO bahagian Pagoh mahu orang tempatan dipilih sebagai calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum (PRU) yang akan datang.

Pemangku Ketua UMNO bahagian Pagoh, Ismail Mohamed berkata beliau telah mengemukakan perkara tersebut kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Presiden UMNO dalam satu pertemuan baru-baru ini.


"Saya sendiri telah menyampaikan permintaan orang Pagoh ke Perdana Menteri bahawa mereka ingin calon tempatan dan bukannya lagi orang luar...kita harap anak jati Pagoh akan bertanding sebagai calon nanti," katanya kepada pemberita hari Ahad.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan majlis Kunjungan Mesra Hero Negara, Tan Wee Kiong di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Kung Yu, Kundang Ulu di sini, hari ini.

Ismail berkata sudah sekian lama peluang menjadi calon diberikan kepada orang luar dan kini sudah tiba masanya orang Pagoh sendiri pula yang menjadi calon kerana mereka lebih faham dan terus kekal membela kebajikan masyarakat Pagoh.

"Kita sedia maklum, Ahli Parlimen Pagoh Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jorak, Datuk Dr Shahruddin Md Salleh bukan orang tempatan di Pagoh," katanya.

Beliau berkata UMNO bahagian Pagoh tidak menghadapi masalah untuk mencari calon di kalangan penduduk tempatan kerana mempunyai ramai calon yang berkelayakan dan mampu membawa kemenangan kepada BN.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment